Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman dalam masa terdekat berkenaan pelan pemulihan ekonomi negara yang baharu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemungkinan juga akan ada inisiatif baharu diumumkan kelak.

“Saya gembira untuk beritahu Perdana Menteri akan buat pengumuman dalam masa terdekat berkenaan pelan pemulihan ekonomi negara. Akan ada inisiatif baru yang akan diumumkan dan inisiatif yang ada mungkin akan diteruskan.

“Kita tunggu tapi yang penting, pelan perlu dinamik kerana semuanya bergerak dengan pantas. Ekonomi sudah dibuka secara berperingkat mulai 4 Mei lepas dan kalau kita tengok, lepas seminggu 6.1 juta sudah mula bekerja.

“Seminggu selepas itu, lebih 10 juta pekerja sudah mula bekerja. Ini mewakili 67 peratus daripada pekerja di Malaysia yang sudah mula bekerja,” katanya kepada media selepas Lawatan Kerja Ke Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berhubung beberapa inisiatif dan bantuan kerajaan yang akan tamat tempoh tidak lama lagi.

Sebelum ini, Tengku Zafrul berkata kerajaan bakal mengumumkan pelan pemulihan ekonomi terbaharu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitiri.

Menurutnya, pelan berkenaan merupakan inisiatif penting bagi merancakkan semula ekonomi negara yang mungkin memakan masa sekurang-kurangnya dua ke tiga minggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.