Produk insurans dan takaful masih tidak menarik bagi sebahagian besar rakyat Malaysia berikutan kebanyakannya terlalu kompleks dan tidak mampu dimiliki, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, industri itu perlu menumpu golongan yang tidak memiliki jaminan insurans untuk membolehkan mereka dilindungi oleh sekurang-kurangnya satu perlindungan.

"Ketika ini kadar penembusan industri adalah kira-kira 56 peratus berbanding negara maju yang mencatat 100 peratus.

"Kerajaan menyasarkan penembusan 75 peratus menjelang 2020 namun, pastinya, kita mahu mencatat lebih 100 peratus," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Insurans Malaysia Ketujuh di sini, pada Isnin.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Muhammad berkata daripada perspektif penduduk yang masih tidak mempunyai perlindungan insurans, model perniagaan sedia ada secara dasarnya telah gagal.

Beliau berkata, walaupun sumbangan premium insurans hayat dan takaful keluarga meningkat 48 peratus sejak 2010 namun kadar penembusan hanya bertambah lima mata peratusan sekali gus menunjukkan industri itu semakin menumpukan segmen insurans yang sempit.

"Jika kita mengenepikan pengiraan dua kali, hanya 35 peratus orang dewasa mempunyai sejumlah bentuk perlindungan," katanya.

Malah, katanya, bagi yang telah mempunyai perlindungan, pembelian atau membuat tuntutan adalah proses yang merumitkan.

Gabenor BNM berkata, untuk menangani masalah itu, produk dan saluran penyampaian perlu dipelbagaikan supaya ia lebih menyesuai dengan penduduk keseluruhannya, dan perlu mencakupi tumpuan kepada keperluan perlindungan diperbaharu, terutama untuk pembeli kali pertama.

Bagi tujuan tersebut, Muhammad berkata, bank pusat bekerjasama dengan industri untuk melaksanakan Perlindungan Tenang, platform penjenamaan dan komunikasi kebangsaan, di Kuching bulan depan.

"Perlindungan Tenang bermatlamat mencapai lapan juta rakyat Malaysia pada umur bekerja dan lebih 700,000 perusahaan mikro, yang ketika ini memerlukan perlindungan insurans dan takaful daripada risiko utama," katanya.

Produk berkenaan yang akan dilengkapi logo Perlindungan Tenang, perlu memenuhi tiga kriteria - mampu milik, boleh diakses dan mudah difahami.

"Produk itu bertujuan menyelesaikan masalah yang sering menyebabkan pengguna tidak berminat membeli produk insurans dan takaful.

"Setakat ini, empat syarikat insurans dan empat pengendali takaful telah membangunkan produk yang akan diperkenalkan di bawah inisiatif ini dan BNM menjangkakan lebih banyak syarikat yang akan menyertai platform ini," katanya.

Mengenai perkembangan lain, gabenor juga menggesa industri mengamalkan pendigitalan untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan, yang perlu digiatkan oleh sektor insurans dan takaful.

Beliau berkata, setakat ini pengedaran insurans dalam talian masih menyumbang kurang 0.1 peratus daripada jumlah perniagaan, yang merupakan satu pencapaian teruk, memandangkan pengguna telah sedia menikmati pendigitalan dalam banyak aktiviti harian lain.

-- BERNAMA