Projek TRX akan tetap disiapkan walaupun lebih daripada RM3 bilion dana Kerajaan Persekutuan untuk TRX CIty Sdn Bhd diselewengkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk meneruskan projek milik penuh Kementerian Kewangan itu.

"Keputusan untuk meneruskan projek TRX berkenaan adalah demi menjana kembali segala dana yang telah diseleweng serta membayar balik semua pinjaman lama, dengan mengambil kira kos peluang dan pelaburan yang telah dibuat," kata Guan Eng dalam satu sidang media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

TRX City Sdn Bhd

“Kabinet turut berpendapat bahawa penerusan projek ini akan menghasilkan keuntungan kecil kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, tanpa dana RM2.8 bilion, TRXC terpaksa menghentikan projek tersebut manakala Kerajaan Persekutuan akan terpaksa menanggung bayaran pampasan RM3.51 bilion kepada beberapa pihak, selain daripada kehilangan RM3.7 bilion sebagai kos lesap yang diperuntukkan kepada TRXC sebelum ini.

Jelas Guan Eng, projek TRX akan memberikan keuntungan kecil selepas ia siap dan mendapatkan semula perbelanjaan RM3.7 bilion yang dibayar pada awal pembinaan projek tersebut.

Kabinet memutuskan untuk meneruskan projek berkenaan bagi mendapatkan semula semua dana yang disalah guna, membayar semua wang yang dipinjam dan kos-kos lain.

TRXC adalah sebuah syarikat yang membangunkan TRX dan Bandar Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.