Fashion Valet (FV), salah satu laman fesyen dalam talian terbesar di Asia Tenggara untuk pakaian wanita Muslimah merancang mengembangkan lagi pasarannya di dalam negeri dan seluruh dunia.

"Pada masa ini kami mempunyai sekitar 500 pereka fesyen, kebanyakannya orang tempatan yang menggunakan FV sebagai pangkalan untuk mempromosikan jenama serta produk mereka termasuk fesyen Muslimah," kata pengasas bersama, Vivy Sofinas Yusof.

Ditubuhkan enam tahun lalu, FV, yang melakukan jualan menerusi pangkalan dalam talian termasuk laman sesawang syarikat, Facebook serta Instagram, juga membuka kedai pertama di Bangsar Village, Kuala Lumpur.

Menurut Vivy yang pernah menerima Anugerah Usahawan Muda, keuntungan jualan dalam talian bertambah dua atau tiga kali ganda setiap tahun dan disasarkan lebih tinggi tahun depan.

Bagi menampung perniagaan yang semakin meningkat, kedai kedua dibuka di pusat membeli belah tersohor, Pavilion di Bukit Bintang.

Menerusi dalam talian, kumpulan ini menghantar produk mereka ke luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, China, United Kingdom dan India.

FESYEN MUSLIM SEMAKIN PESAT

Menurut Vivy, laman dalam talian pelbagai label terkemuka Asia mencatat pertumbuhan yang sungguh menggalakkan terutamanya beberapa tahun kebelakangan ini.

Selaras dengan perkembangan ini, FV mahu menempatkan syarikat pada kedudukan yang kukuh dalam industri ini, katanya.

"Kami sedar dengan potensi industri fesyen Muslim di seluruh dunia dan tidak mahu terlepas peluang daripada meraih keuntungan daripadanya.

"Pihak kami memasuki pasaran ini secara tidak langsung apabila kebanyakan pereka kita mula menghasilkan skaf, jubah dan pakaian lain yang sopan," tambahnya.

Naelofar Hijab adalah contoh jenama tempatan yang menjual skaf/tudung dengan permintaan yang besar dalam dan luar negara.

Jenama ini tidak lama lagi diberitakan akan menembusi pasaran Amerika Syarikat selepas menjalankan penyelidikan pasaran.

Tahun lalu, jenama milik bintang kenamaan Noor Neelofa Mohd Noor, mencatat jualan berjumlah RM50 juta dan 10 peratus daripadanya disumbang pasaran luar negara yang kebanyakannya bergantung kepada jualan dalam talian.

PERNIAGAAN DALAM TALIAN

Usahawan muda Muslim adalah penggerak kepada penubuhan syarikat kecil dan besar yang mempromosikan industri fesyen Muslim.

Pasaran ini menjadi semakin menarik dengan penyertaan perniagaan menerusi pangkalan digital, sebagai contoh laman sesawang, Instagram, Facebook, Pinterest dan Twitter.

Nurul Amirah Khairulazman, Penyelaras Pembangunan Profesional di IBM Malaysia Sdn Bhd berkata beliau biasanya akan meninjau terlebih dahulu jenis pakaian yang ingin dibelinya sebelum ke kedai.

"Membeli-belah sekarang lebih mudah kerana banyak jenama boleh dibeli dalam talian di samping di kedai.

"Ini juga mengelakkan saya daripada perlu mengharung kesesakan lalu lintas sekiranya saya membeli dalam talian.

"Sekiranya kedai itu berhampiran dengan kediaman saya, saya lebih suka ke kedai dan boleh melihat fabrik yang digunakan," katanya.

Beliau menambah, sesetengah produk begitu mahal harganya kerana tidak dihasilkan secara besar-besaran.

Nurul Amirah bagaimanapun berkata beliau sanggup membeli produk tersebut kerana ia eksklusif.

Sementara itu, Sarah Arina Dahlan, seorang ahli perniagaan yang tinggal di Bangi berkata kawasan tempat tinggalnya kini adalah tumpuan untuk pakaian Muslimah.

"Saya perhatikan sejak beberapa tahun lalu, pakaian Muslimah semakin mudah dibeli berbanding sebelumnya.

"Terima kasih kepada pihak yang peka dengan cara berpakaian Muslimah yang menutup aurat," tambahnya.

JENAMA ANTARABANGSA

Bukan sahaja pereka Muslim memberi perhatian kepada fesyen Muslim, pereka fesyen bukan Muslim yang menguasai jenama antarabangsa turut berbuat yang sama.

Antara jenama terkemuka yang tampil menghasilkan koleksi lebih sopan bukan sahaja untuk pasaran Muslim tetapi juga bukan Muslim termasuk DKNY, H&M, D&G dan Uniqlo.

H&M sebagai contoh, salah satu rangkaian fesyen terbesar dunia menjadi perhatian apabila menampilkan model berhijab tahun lalu.

Menurut laporan, D&G juga memperkenalkan koleksi abaya serta hijab yang memaksa pesaing mereka melakukan yang sama.

Ketika jenama dan pereka ini mula mempelbagaikan sasaran pasaran serta menerima sambutan positif, ada yang masih enggan dan ada juga yang mencuba tetapi tidak berhasil.

Sebagai contoh, langkah Marks & Spencer menjual pelbagai jenis 'burkinis', pakaian renang menutup badan sepenuhnya di UK bulan lalu mencetuskan perbahasan hangat.

Menurut Global Islamic Economy Report 2015-2016, pengguna Muslim berbelanja anggaran AS$230 bilion untuk pakaian, dan ia dijangka meningkat kepada AS$327 bilion pada 2019.

Ia jua melaporkan jumlah ini lebih besar daripada nilai pasaran pakaian semasa yang disatukan iaitu UK (AS$107 bilion), Jerman (AS$99 bilion) dan India (AS$96 bilion).

Bagi Malaysia, eksport produk gaya hidup tahun lalu meningkat 12 peratus kepada RM31.36 bilion berbanding RM28 bilion tahun 2014.

-- BERNAMA