Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menerima 7,000 tempahan setakat ini bagi Persona serba baharunya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar, berkata Persona baharu itu mendapat sambutan yang baik sejak ia dilancarkan pada 23 Ogos, 2016.

"Kami gembira dengan jumlah itu dan kami berada pada landasan untuk mencapai sasaran jualan antara 3,000 dan 4,000 unit sebulan, sasaran itu dinyatakan sebelum ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali," katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan bagi Pemenang Pingat Olimpik Malaysia di sini hari ini.

Persona baharu itu merupakan generasi kedua keluarga Persona, yang mula diperkenalkan pada 2007.

Pada majlis itu, Proton dan syarikat induknya, DRB-Hicom Holdings Bhd, menganugerahkan pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang memenangi tiga pingat perak dalam sukan Olimpik, sebuah kereta Proton Perdana.

Pemenang pingat perak yang lain, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (acara terjun 10m platform seirama); Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (beregu campuran badminton); serta Goh V Shem dan Tan Wee Kiong (beregu badminton lelaki) masing-masing menerima Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium.

Pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang menerima Proton Persona serba baharu yang meraih pingat gangsa dalam acara keirin lelaki.

Bagi ganjaran untuk atlet Paralimpik Malaysia yang memenangi pingat di Rio de Janeiro, Brazil, Syed Faisal Albar berkata DRB-Hicom telah mengumumkan bahawa ia akan menghadiahkan pakej umrah kepada mereka.

"Naza Group merancang untuk menghadiahkan kereta kepada atlet Paralimpik, dan, kami rasa tidak perlu lagi untuk memberi mereka kereta," katanya.

"Malah, salah seorang daripada mereka (atlet Paralimpik) menyebut bahawa beliau ingin membawa ibu bapanya menunaikan umrah, dan berdasarkan kepada ini, kami mahu memberi mereka sesuatu yang bermakna," kata Syed Faisal Albar. - BERNAMA