Public Bank Berhad kini mendahului Maybank sebagai bank terbesar Malaysia berdasarkan permodalan pasaran.

Menurut data dari Bloomberg, Public Bank kini mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM76.7 bilion.

Nilai permodalan pasaran bergantung kepada turun naik harga saham. Ini berbanding permodalan pasaran Maybank sebanyak RM76.67 bilion.

Public Bank pada separuh kedua tahun ini mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.20 bilion.

Manakala Maybank mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM3.52 bilion bagi tempoh yang sama.

Bagi separuh pertama 2016, Public Bank mencatatkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 8.3 peratus.

Dari jumlah tersebut, pinjaman korporat meningkat sebanyak 16.5 peratus kepada RM240.8 juta. Pinjaman sewa beli meningkat 5.0 peratus kepada RM195.6 juta.

Bagi tempoh yang sama, keuntungan sektor runcit Public Bank turut menyaksikan peningkatan 1.4 peratus kepada RM1.69 bilion.

Manakala keuntungan dari operasi antarabangsanya meningkat 9.3 peratus kepada RM301.4 juta.

Tenaga Nasional Berhad masih kekal sebagai syarikat terbesar di dalam Bursa Saham Malaysia dengan permodalan pasaran sebanyak RM81.4 bilion.