Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

Pusingan U, kini bank kenakan faedah moratorium ke atas sewa beli

Pusingan U, kini bank kenakan faedah moratorium ke atas sewa beli
Kerajaan pada 25 Mac mengumumkan moratorium bayaran pinjaman bank melibatkan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat.
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan peminjam bank tidak perlu memohon untuk mendapatkan moratorium dari pihak bank.

BNM dalam satu kenyataan berkata, pelanggan hanya perlu melengkapkan dokumentasi yang diperlukan untuk mengesahkan moratorium berkenaan.

“Kenyataan yang dikelurkan BNM awal hari ini adalah bagi menyelesaikan isu prosedur untuk mewujudkan pengesahan perundangan moratorium mengikut Akta Sewa Beli 1967 dan tuntutan Syariah.

“Pelanggan akan dihubungi oleh pihak bank untuk penerangan prosedur yang betul,” kata BNM.
BNM berkata moratorium diperkenalkan pada 25 Mac bertujuan untuk meringankan beban pengguna yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Malah bank pusat berkata dalam kenyataan yang disiarkan pada 25 Mac 2020, kadar faedah akan terakru untuk moratorium yang diambil.
Terdahulu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam satu kenyataan berkata peminjam sewa beli diberikan dua pilihan.

Pertama membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan.

Manakala bagi pilihan kedua, pengguna yang mengambil moratorium enam bulan boleh meneruskan pembayaran ansuran selepas Oktober 2020 dengan lanjutan enam bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang.

“Dalam kes ini, faedah berdasarkan kadar kontrak akan dicaj ke atas jumlah ansuran tertangguh sehingga dibayar sepenuhnya, yang sepatutnya pada akhir tempoh lanjutan enam bulan," katanya.

ABM berkata, bagi pelanggan sewa beli yang tidak mengesahkan secara rasmi penerimaan moratorium sebaik menerima notifikasi daripada bank masing-masing, mereka dianggap tidak mengambil moratorium.

"Justeru, pelanggan sewa beli perlu terus membayar ansuran bulanan seperti biasa mengikut jadual asal," katanya.

ABM berkata bank tidak mengenakan caj faedah tambahan atau fi bayaran lewat bagi ansuran tertunggak bagi April dan Mei oleh pelanggan yang menangguhkan bayaran ansuran bulanan, jika bayaran bagi April, Mei dan Jun 2020 dibuat tidak lebih daripada 30 Jun 2020.

"Jika bayaran tidak dibuat menjelang 30 Jun 2020, akaun akan tertunggak dan caj bayaran lewat akan mula terakru daripada Julai 2020 seterusnya," katanya.

Kerajaan pada 25 Mac mengumumkan moratorium bayaran pinjaman bank melibatkan individu, PKS dan korporat.

Ia termasuk pinjaman sewa beli yang dilakukan secara automatik tanpa tunggakan kadar faedah terakru.


Tag: pinjaman sewa beli, ABM, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, peminjam, ansuran, moratorium, PKS, BNM, Bank Negara Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.