Rakyat negara ini yang masih mempunyai pekerjaan dan kemampuan, disaran keluar berbelanja, menyokong perniagaan dan syarikat tempatan, serta melancong dalam negeri.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, aktiviti itu dapat membantu merancakkan kembali ekonomi domestik, serta meletakkan negara kembali ke landasan untuk meningkatkan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, kata Tengku Zafrul lagi, aktiviti itu haruslah mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, serta mengamalkan displin penjagaan kesihatan diri, bagi memastikan tiada gelombang kedua COVID-19.

"Kita dapat melihat sejak kebelakangan ini, semakin banyak perniagaan beroperasi dengan kapasiti penuh, dan terdapat banyak tanda-tanda positif mengenai prospek pemulihan ekonomi.

"Dengan kerjasama padu semua pihak, kita mampu mengharungi dan memperbaiki keadaan ekonomi ini bersama.sama. Tahun ini mungkin merupakan tahun yang sukar - tahun untuk mengikat bagi negara kita - tetapi dengan langkah-langkah di bawah PRIHATIN dan PENJANA, tahun 2021 akan menunjukkan perkembangan ekonomi lebih baik," katanya lagi.

Tengku Zafrul berkata demikian pada sidang media sempena kunjungan rasmi beliau ke Menara PERKESO, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kesedaran mengenai keselamatan sosial pekerja, terutamanya dalam sektor ekonomi gig masih kurang.

Berdasarkan data dari Januari 2020 hingga kini, beliau berkata, hanya 7 peratus atau 28,245 pekerja ekonomi gig yang berdaftar dengan PERKESO, berbanding jumlah pekerja keseluruhan sektor itu iaitu sekitar 400,000 orang.

Melalui program Penjana Gig, beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan geran sebanyak RM50 juta dalam bentuk dana padanan bagi platform ekonomi gig, untuk mencarum pekerja di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO.

"Kerajaan berharap lebih ramai pekerja akan berdaftar dengan PERKESO agar kebajikan mereka terus terpelihara. bagi merancakkan inisiatif PENJANA gig juga.

Kita juga telah mengadakan beberapa sesi libat urut telah dijalankan bersama sektor pertanian, penjaja, pengangkutan penumpang, barangan dan makanan, serta lebih 38 penyedia platform perkhidmatan gig. Di mana kita telah berjumpa lebih 188,000 freelancers (pekerja sambilan) yang berpotensi telah dikenalpasti,” katanya lagi.

Tengku Zafrul berkata, kerjasama PERKESO dan kerajaan amat penting kerana modal insan adalah aset paling bernilai bagi sesebuah organisasi.

Dari segi pemulihan ekonomi, ujarnya lagi, penting bagi kerajaan untuk membantu majikan mengekalkan kapasiti modal insan.

Ini, jelasnya lagi, bagi memastikan syarikat mampu untuk segera berkembang semula apabila ekonomi semakin pulih.