Ranhill Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, Ranhill Water Services Sdn Bhd (RWS), memperoleh kontrak perkhidmatan air tanpa hasil (NRW) bernilai RM15.9 juta daripada Air Kelantan Sdn Bhd.

Kontrak untuk tempoh 12 bulan itu adalah untuk memberi perkhidmatan kepada Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur, Kota Bahru Selatan, Bachok, Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah di Kelantan, katanya dalam kenyataan di sini.

Projek itu yang dijadualkan bermula pada akhir Ogos tahun ini, akan meliputi kira-kira 70 peratus daripada jumlah sambungan paip di Kelantan, dan dijangkakan dapat mengurangkan NRW sebanyak 5.8 peratus garis asas yang kini merekodkan tahap 47 peratus.

Presiden dan Ketua Eksekutif, Tan Sri Hamdan Mohamad, berkata Ranhill sentiasa berada di barisan hadapan dalam pengurusan pengurangan NRW, dan pembaharuan kontrak ini membuktikan keupayaannya dalam menyumbang hasil yang ketara seperti yang diperlukan oleh pelanggan.

"Sejak penglibatan kami pada 2013, RWS berjaya mengurangkan tahap NRW di Kelantan daripada 56 peratus kepada 47 peratus atau penjimatan sebanyak 40 juta liter sehari (MLD). Ini boleh diterjemahkan kepada RM17.3 juta penjimatan setahun bagi pengendali air negeri ini.

"Hasil daripada kontrak baharu ini, kami dapat menjangkakan penjimatan tambahan sebanyak RM12 juta setiap tahun untuk negeri ini," katanya.

RWS ditubuhkan pada 2005 untuk memberi tumpuan kepada pengurangan dan pengurusan NRW.

Setakat ini, ia berjaya menyelamatkan lebih daripada 450 MLD daripada kesemua projek NRW yang dikendalikannya, termasuk di Kedah, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Johor.