Jualan hartanah Malaysia susut kepada 39 peratus pada 6 bulan pertama 2016.

Ini berbanding pertumbuhan 52 peratus jualan yang dicatatkan pada separuh kedua 2015.

Menurut Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri F.D. Iskandar, antara punca utama jualan menyusut ialah permintaan yang perlahan dan penolakan pembiayaan akhir serta pinjaman.

Iskandar berkata, untuk tempoh sama, pembeli rumah pertama susut 13 peratus.

Antara isu utama yang dihadapi pembeli adalah pinjaman diluluskan yang hanya meliputi 75 hingga 80 peratus daripada harga rumah.

Tegasnya pembeli perlu diberi bantuan bagi memenuhi keperluan baki 10 hingga 15 peratus pembiayaan.

"Kami hendak membantu pembeli terutamanya pembeli rumah pertama. Kadar penolakkan pinjaman tertinggi berada pada kategori rumah mampu milik.

"Oleh itu, bank harus melonggarkan polisi dan meningkatkan kadar bantuan kewangan atau bagi pemaju yang mampu membantu boleh memenuhi keperluan baki pembiayaan pembeli," kata Iskandar.

Iskandar bagaimanapun berkata harga hartanah, buat masa ini, kekal tinggi susulan kos pematuhan yang tinggi.

Beliau menggesa kerajaan menghapuskan kos pembangunan dan mengurangkan premium untuk meningkatkan pembinaan hartanah mampu milik.

"Kos pematuhan telah meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding 8 tahun lepas, dari 8 peratus ke 24 peratus hingga 25 peratus.

"Antara kos utamanya ialah, caj premium penukaran, caj pembangunan dan caj yang ditanggung oleh pemaju seperti caj infrastruktur. Ini akan meningkatkan kos pematuhan," kata Iskandar

Beliau menjangka peningkatan harga hartanah dapat diperlahankan dengan meluaskan bekalan dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli.

Jumlah projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2016 oleh ahli REHDA turut susut berbanding separuh kedua tahun lepas.

Beliau menjangka separuh kedua tahun ini tidak memberangsangkan dengan hanya 45 peratus pemaju yang ingin melancarkan projek baru.

Bagaimanapun, REHDA lebih optimistik bagi tahun 2017 susulan keadaan ekonomi yang disasar menambah baik.

Penggunaan sistem IBS

Sementara itu, REHDA ingin kerajaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam sekurang-kurangnya 70 peratus projek sebelum memperkenalkan kepada pemaju.

Iskandar menegaskan, penggunaan sistem IBS buat masa ini akan meningkatkan kos sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Tegasnya ketika ini Malaysia tidak mempunyai sistem yang sesuai untuk menyokong pelaksanaan sistem IBS.

"Bagi menyokong perlaksanaan sistem ini, saya berharap kerajaan akan memberikan insentif dari segi rebat cukai. Dengan ini, lebih ramai akan membeli sistem tersebut. Buat masa ini, kebanyakan sistem IBS ini diimport dari luar negara.

"Kedua, kerajaan harus menerajui inisiatif ini. Bila kerajaan memberi kontrak, ia harus memastikan 70 peratus daripadanya menggunakan sistem ini.

"Ketiga, kita mempunyai CIDB, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan. Mereka harus melatih lebih ramai untuk menggunakan sistem IBS, walaupun bukan berkemahiran penuh, sekurang-kurangnya separuh mahir," kata Iskandar.

Bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada November 2015 melaporkan 70 peratus daripada projek di bawah kementeriannya telah mengguna pakai sistem IBS.

Penggunaan ini bagi membantu mengurangkan harga rumah dan mempercepatkan tempoh pembinaan.

Institut Penyelidikan Khazanah dalam kajian harga rumah sebelum ini turut menggesa pemaju menggunakan IBS dalam mewujudkan rumah mampu milik.