announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

RHB peruntukkan RM3 juta bagi inisiatif kekang COVID-19

RHB peruntukkan RM3 juta bagi inisiatif kekang COVID-19
Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, daripada jumlah tersebut RM1 juta akan disumbangkan secara terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Foto RHB
KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB) memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi tujuan sokongan terhadap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, daripada jumlah tersebut RM1 juta akan disumbangkan secara terus kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan bagi membeli peralatan kesihatan, perubatan atau keperluan penting lain dalam menguruskan kes COVID-19.

“Baki RM2 juta lagi akan diperuntukkan sebagai dana bantuan bagi usaha-usaha berkaitan COVID-19 yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan.

“Inisiatif utama kami ketika ini adalah membekalkan bungkusan makanan kepada barisan hadapan di enam buah hospital sekitar Lembah Klang dan Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung (PTP),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Enam buah hospital tersebut adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur.

Khairussaleh turut menyarankan orang ramai untuk terus mematuhi perintah PTP dan kekal berada di rumah sepanjang tempoh ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun 2-66016-0002347-5 RHB Bank Bhd. atas nama Sumbangan Perubatan KKM.

Kenyataan media RHB Banking Group.


Tag: Kuala Lumpur, KKM, Hospital, bank, kerajaan, COVID-19, koronavirus, Malaysia, perubatan, Kementerian Kesihatan, coronavirus, Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.