Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan harga minyak mentah meneruskan aliran rendah dengan mencecah paras terendah dalam tempoh 11 bulan.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1940/1990 berbanding dolar AS daripada 4.1920/1960 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Setakat 9 pagi ini, minyak mentah Brent berada pada US$59.48 setong berbanding US$62.60 setong pada Jumaat lepas.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata penurunan harga minyak mentah mendorong ringgit susut ditambah dengan ketidaktentuan pasaran global yang memperlahankan pelaburan akan datang.

"Ketegangan perdagangan berlanjutan antara AS dan China telah menjejaskan pasaran pesat membangun termasuk Malaysia, dan hasil perbincangan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Argentina minggu ini akan memberi kesan kepada pergerakan ringgit," katanya kepada Bernama.

Trump dan Xi dijangka bertemu di Sidang Kemuncak G20 dan pelabur mengharapkan kedua-duanya bersetuju untuk menghentikan ketegangan berkaitan kenaikan tarif perdagangan.

Sementara itu, ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0486/0534 daripada 3.0489/0530 ketika ditutup pada Jumaat lepas selain stabil berbanding yen Jepun kepada 3.7118/7169 daripada 3.7150/ 7189.

Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 4.7539/7600 daripada 4.7680/7730 serta tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3683/3772 daripada 5.3855/3927.

-- BERNAMA