Tutup

Berita  | Bisnes

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS
Malaysia mempunyai rancangan luar jangka ekonomi sekiranya perang perdagangan global semakin memburuk, yang akan dilaksanakan sekiranya konflik AS-Iran meningkat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal pagi ini berikutan permintaan yang bertambah baik terhadap unit tempatan itu sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain susulan meredanya ketegangan antara Amerika Syarikat (AS)-Iran.

Pada 9.11 pagi, ringgit berada pada 4.0900/0930 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1000/1030 semalam.
Seorang peniaga berkata sentimen pasaran terhadap mata wang Asia, termasuk ringgit meningkat selepas Presiden AS Donald Trump mengulas bahawa AS tidak akan membalas tindakan ketenteraan terhadap Iran.

"Ini membantu mengurangkan kebimbangan pelaburan akan peningkatan risiko geopolitik di Timur Tengah dan seterusnya meningkatkan minat risiko mereka," katanya.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata semalam Malaysia mempunyai rancangan luar jangka ekonomi sekiranya perang perdagangan global semakin memburuk, yang akan dilaksanakan sekiranya konflik AS-Iran meningkat.

Lim berkata konflik geopolitik merupakan antara topik yang dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu dengan kebimbangan terhadap kestabilan dan sama ada ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0285/0319 daripada 3.0364/0390 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7440/7478 daripada 3.7805/7837

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3604/3647 daripada 5.3780/3835 dan naik berbanding euro kepada 4.5452/5498 daripada 4.5662/5712.

-- BERNAMA