Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar US pada Rabu, dipacu jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan mengurangkan kadar faedah jangka pendek sebanyak suku mata untuk berada pada jajaran 1.75 peratus hingga 2.0 peratus ketika pembuat dasar bermesyuarat minggu ini.

Pada 9 pagi, ringgit naik ke paras 4.1750/1800 berbanding dolar US daripada 4.1810/1850 semasa ditutup pada Selasa.

Seorang peniaga berkata penurunan monetari selanjutnya oleh Fed boleh mendorong naik mata wang tempatan dan menjangkakan pelabur akan lebih yakin terhadap ekuiti Malaysia.

"Mesyuarat dasar monetari Fed pada September ini selama dua hari bermula semalam dan ia akan mengumumkan keputusan terkini mengenai kadar faedah pada petang ini.

"Pasaran menaruh harapan tinggi terhadap penurunan kadar faedah selanjutnya, yang akan menjadi rangsangan bagi pasaran domestik," kata peniaga itu, sambil menambah Fed mungkin akan melaksanakan satu lagi penurunan kadar pada Disember.

Ia melaksanakan pengurangan 25 mata asas buat julung kalinya dalam tempoh 10 tahun pada Julai.

Sementara itu, berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan rendah kecuali berbanding yen yang meningkat kepada 3.8590/8639 daripada 3.8624/8671.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0364/0413 daripada 3.0345/0379, susut berbanding pound Britain kepada 5.2133/2200 daripada 5.1840/1907 dan merosot kepada 4.6205/6277 daripada 4.6058/6115 berbanding euro.

-- BERNAMA