Ringgit dijangka kekal turun naik minggu depan berikutan ketidaktentuan mengenai kenaikan kadar faedah AS ketika harga komoditi terus lemah, kata peniaga.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, komen daripada pegawai Rizab Persekutuan AS mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah pada Disember, telah meningkatkan mata wang AS itu daripada paras terendah dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, ini memberi tekanan kepada ringgit untuk susut ke paras terendah terbaru dalam tempoh satu bulan.

"Tidak ada kelegaan untuk komoditi ketika harga emas, minyak Brent dan minyak sawit mentah merosot kepada paras terendah dalam tempoh sebulan masing-masing kepada US$1,103 satu aun, US$47.98 setong dan US$610 satu tan metrik," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata, data eksport yang lebih baik daripada jangkaan boleh memberi sokongan kepada mata wang tempatan itu.

Beliau berkata, eksport pada September naik 8.8 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan tertinggi tahun ke tahun sejak Mei 2014, melepasi unjuran pertumbuhan ahli ekonomi 3.1 peratus, dibantu oleh permintaan daripada pasaran utama Malaysia.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit merosot kepada 4.3070/3160 daripada 4.2920/3000 pada minggu sebelumnya berikutan keyakinan mengenai kenaikan kadar faedah AS selepas komen pegawai negara itu.

Ringgit, bagaimanapun, mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0579/0647 daripada 3.0616/0695 Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.5326/5409 daripada 3.5568/5643 minggu lepas.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 6.5337/5482 daripada 6.5792/5928 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6821/6924 daripada 4.7233/7334 sebelum ini.