Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

Ringgit dijangka meningkat semula - Ahli ekonomi

Ringgit dijangka meningkat semula - Ahli ekonomi
Memandangkan pergerakan yuan China dan prospek harga minyak adalah positif dan menuju ke arah peningkatan, Shan berkata, ini akan menjurus kepada kenaikan nilai ringgit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meningkat semula di tengah-tengah pasaran mata wang yang turun naik dan tidak dapat dijangka, demikian menurut Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed.

Beliau berkata dolar US dijangka terus lemah pada suku akan datang berikutan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengurangkan kadar faedah penanda arasnya dengan mata peratusan penuh hampir sifar dan berjanji untuk meningkatkan pegangan bonnya sekurang-kurangnya US$700 bilion.
Beliau berkata Fed mengambil langkah seumpama itu untuk menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) daripada mengalami kemerosotan akibat COVID-19.

"Jika anda melihat isu terkini dalam majalah Forbes, ia jelas menunjukkan dolar US merosot.
"Persoalan dalam kalangan pelabur ialah: Adakah dolar US juga dilihat ke arah penyusutan?" katanya ketika dihubungi Bernama TV pada Ahad apabila ditanyakan pandangannya mengenai ringgit dan unjuran makroekonomi global.

Shan yang juga pemain Global berkata, sejak 17 hari lepas, dolar US adalah lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama berikutan ia menyusut berbanding pound Britain (6.95 peratus), dolar Kanada (2.83 peratus), yuan China (0.70 peratus) dan ringgit (1.83 peratus).

Pada Mac tahun ini, Fed dilapor akan membeli bon Perbendaharaan -- selepas 250 minggu berturut-turut tidak membeli ketika cuba mengetatkan dasar monetari -- yang mendorong kepada spekulasi bahawa penurunan kuantitatif (QE) 4 telah bermula.

Dalam bahasa yang mudah difahami, Shan menjelaskan bahawa QE merupakan keadaan di mana bank pusat menyuntik wang baharu terhadap ekonomi dengan membeli bon Perbendaharaan AS.

Fed sebelum ini melalui tiga fasa pembelian bon pada 2013 dan 2014 dan sehubungan itu, QE4 akan menjadi fasa yang terbaru.

"Pasaran yakin bahawa Fed mahu merendahkan dolar bagi suku yang berbaki untuk menyediakan rangsangan kepada unjuran ekonomi yang menuju ke arah kemelesetan.

"Pasaran tidak begitu yakin bahawa Fed akan berjaya kali ini dan dolar juga dilihat ke arah penyusutan," kata Shan.

Beliau berkata yuan China telah bergerak daripada 6.92 kepada 7.15 dalam tempoh 31 hari.

"Pergerakan yuan mencerminkan sebahagian besar daripada pelarasan pasaran mata wang dan campur tangan bank-bank pusat. Ia seperti perang harga di mana-mana sahaja.

"Kesemua bank pusat mahu mengekalkan mata wang mereka kepada paras yang rendah atau dalam mod penyusutan untuk merangsang pertumbuhan dan mengekalkan momentum ekonomi berikutan pemboleh ubah eksogen menjadikan ekonomi terdedah kepada kelembapan," katanya.

Shan berkata ringgit menuruti pergerakan yuan China dan prospek harga minyak.

Memandangkan kedua-duanya adalah positif dan menuju ke arah peningkatan, beliau berkata ini akan menjurus kepada kenaikan nilai ringgit.

Beliau berkata pasaran minyak dilihat mengalami turun naik yang terbesar sejak 5 Mac, 2020 dengan merosot 50 peratus daripada US$50 setong kepada US$24 setong berikutan perang harga di antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan anggota OPEC+.

Menurut Shan harga minyak mentah Brent kembali meningkat dan dijangka naik 36 peratus sejak tujuh hari lepas selepas Presiden AS Donald Trump berbincang dengan Rusia dan Arab Saudi untuk mengurangkan pengeluaran.

Konsensus itu dicapai oleh kebanyakan pemain utama untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 15,000 tong sehari.

Arab Saudi telah menggesa diadakan mesyuarat segera bagi OPEC untuk memuktamadkan perjanjian bagi mengurangkan pengeluaran minyak mentah dalam kalangan semua ahli.

Ditanya sama ada faktor di peringkat tempatan boleh menyebabkan ringgit menyusut, Shan berkata beliau mengakui bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah melakukan yang terbaik untuk menyokong ringgit.

"BNM telah melakukan yang terbaik buat masa ini dalam menguruskan dan mengekalkan kestabilan ringgit, setakat ini. BNM masih mempunyai dasar untuk mendorong pertumbuhan trajektori dan boleh melakukannya apabila perlu.

"Secara keseluruhannya, BNM telah menguruskan dengan baik dalam pasaran kewangan," kata beliau.

Shan berkata beliau optimis bahawa ringgit akan bergerak antara 3.97 dan 4.30 berbanding dolar US pada 2020 dan mengekalkan kestabilan struktur dalan kalangan negara-negara ASEAN.

-- BERNAMA