Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa gembira dan bertuah kerana menerima sambutan meriah daripada lebih 80,000 pengunjung sempena majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional (BN) negeri di padang Kolej Han Chiang di George Town.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata kegembiraannya ialah kerana ini adalah buat pertama kalinya beliau dapat menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama-sama dengan penduduk di Pulau Pinang.

"Terima kasih kepada warga Pulau Pinang kerana telah menyambut kedatangan saya dan isteri serta keluarga saya dengan begitu meriah sekali.

"Saya rasa bertuah dan amat gembira kerana pada tahun ini saya dapat lakukan sesuatu yang belum pernah saya lakukan iaitu untuk menyambut Hari Raya Cina dengan warga Pulau Pinang," katanya dalam ucapan ringkas pada majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina hari ini.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya Ashman Razak, Nooryana Najwa dan tunangnya Daniar Nazarbayev tiba kira-kira pukul 10.50 disambut Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Pulau Pinang Teng Chang Yeow.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dan barisan pemimpin BN.

Najib turut menyeru masyarakat setempat agar saling hormat menghormati kebudayaan setiap kaum di Malaysia bagi mengukuhkan perpaduan untuk masa depan yang lebih harmoni.

Katanya perpaduan kaum serta saling memahami sangat penting sebagai pemacu kemajuan dan perkembangan ekonomi negara di persada antarabangsa.

"Ini adalah kerajaan yang berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia. Ini adalah kerajaan yang mempunyai rancangan sebenar untuk masa depan semua rakyat Malaysia.

"Rakyat Pulau Pinang mahu rumah yang lebih baik dan rumah mampu milik dan kerajaan akan menunaikannya...percaya pada janji ditepati," katanya.

Dalam ucapannya Najib juga mengumumkan untuk menaiktaraf Kolej Han Chiang menjadi Kolej Universiti yang memberi pengkhususan dalam bidang pengajian komunikasi massa.

Sebelum itu, anak beliau Ashman Razak menyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Cina dalam bahasa Mandarin dan mendapat tepukan gemuruh manakala Rosmah menyertai kumpulan koir menyanyikan dua buah lagu Mandarin iaitu 'Gong Xi Gong Xi' dan 'Da Di Hui Chun'.

Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina itu dimeriahkan dengan persembahan Chingay, tarian tradisional naga, persembahan tarian pelbagai kaum dan persembahan nyanyian daripada penyanyi terkenal tanah air Shila Amzah.

Kemuncak acara pada majlis itu diserikan dengan persembahan bertenaga daripada penyanyi terkenal Korea iaitu Psy yang popular dengan lagu 'Oppa Gangnam Style'.