Jurang perbezaan pendapatan yang semakin luas antara golongan berada dan kurang berada yang semakin luas perlu jadi tumpuan dalam pembentangan kajian separuh penggal, esok.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata isu pendapatan ini telah menjadi kebimbangan utama, khususnya bagi golongan B40.

“Kita perlu beri perhatian dalam isu ini kerana kos sara hidup semakin meningkat.

“Kerajaan lama ditolak kerana isu ini, maka ini adalah masa untuk kerajaan baharu untuk membantu dan meringankan beban rakyat,” kata Tengku Razaleigh di lobi Parlimen pada Rabu.

Tengku Razaleigh juga berkata masalah ini juga berpunca daripada kedudukan ekonomi negara yang tidak stabil.

“Jumlah tenaga luar yang di bawa masuk semakin tinggi, dan mengambil tempat kerja yang dahulunya pekerja tempatan.

“Banyak pengaliran wang ke luar negara, ini juga membimbangkan.

“Kita juga seperti tidak ada usaha memodenkan cara pekerjaan seperti negara lain yang sudah maju menggunakan teknologi robotik dan sebagainya,” kata Tengku Razaleigh.

Beliau mengalakkan kerajaan untuk memulakan program atau inisiatif pemodenan yang boleh melonjak industri sekali gus membantu pendapatan negara dan rakyat.

Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlangsung esok di Dewan Rakyat jam 4 petang esok.