Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan bakal melepaskan jawatan beliau berkuat kuasa pada 31 Januari 2019.

Bagaimanapun, beliau akan kekal sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dalam Lembaga Pengarah Astro Malaysia Holdings Bhd.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, jawatan Rohana akan diambil alih Ketua Pegawai Kandungan dan Pelanggan Kumpulan Astro, Henry Tan, yang telah berkhidmat lebih 10 tahun di syarikat media gergasi itu.

Sementara itu, Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi memuji kepimpinan Rohana yang berjaya memberi inspirasi kepada semua warga Astro.

"Datuk Rohana merupakan pemimpin yang memberi inspirasi kepada semua di Astro dengan mengetuai kumpulan mencatat pencapaian bermakna dalam industri media di Malaysia.

"Kami akur dan menghormati keputusan beliau untuk melepaskan jawatan CEO Kumpulan dan mengucapkan selamat maju jaya," kata beliau.

Rohana juga berjaya memainkan strategi penting dalam pertumbuhan Astro termasuk membolehkan stesen itu menerajui segmen kandungan di Malaysia serta menyaksikan Astro muncul sebagai syarikat pengguna dengan kedudukannya yang semakin berkembang di ASEAN.

Selain itu, Rohana turut berjaya meningkatkan jumlah pelanggan Astro daripada 2.0 juta kepada 5.5 juta orang selain memacu perolehan yang berkembang daripada RM1.79 bilion kepada RM5.53 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2018.

BACA: Astro rekod pendapatan RM1.31 bilion