Tutup

Berita  | Bisnes

Royal Brunei Airlines bakal adakan penerbangan terus ke Kuching - Abang Johari

Royal Brunei Airlines bakal adakan penerbangan terus ke Kuching - Abang Johari
Sarawak akan buka Pejabat Perdagangan di Bandar Seri Begawan yang boleh mengeluarkan visa bagi memudahkan pelawat warga asing yang menggunakan RBA ke Brunei meneruskan lawatan mereka ke Kuching. - Gambar hiasan
KUCHING: Jumlah pelancong dari Brunei ke Sarawak khususnya bandaraya ini dijangka meningkat apabila syarikat penerbangan negara itu akan melaksanakan penerbangan terus antara Bandar Seri Begawan dan Kuching.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dalam tempoh sebulan atau dua, Royal Brunei Airlines (RBA) akan menampilkan penerbangan dari empat kali seminggu antara Bandar Seri Begawan dan Kuching.

Beliau berkata pada masa yang sama Sarawak akan membuka Pejabat Perdagangan di Bandar Seri Begawan yang boleh mengeluarkan visa bagi memudahkan pelawat warga asing yang menggunakan RBA ke Brunei, untuk meneruskan lawatan mereka ke Kuching.
"Tahun ini jumlah pelancong yang datang ke Sarawak ialah 4.8 juta, Kementerian Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak yang diterajui oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semakin sibuk dengan pertambahan jumlah pelancong," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Warisan Melayu 2018 di Perkarangan Kompleks Sukan Satok, di sini malam tadi.

Turut hadir Abdul Karim dan Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Dr Sanib Said.

Abang Johari berkata selain RBA, syarikat tambang murah Air Asia juga dijangka memperkenalkan laluan Kuching-Bangkok dan Kuching-Jakarta yang mampu meningkatkan lagi jumlah kunjungan pelancong ke Sarawak.
"Kerajaan sarawak mengambil pendekatan untuk mengemaskini kawasan-kawasan yang strategik untuk para pelancong. Di Kuching kita ada Sungai Sarawak yang boleh beri kesan yang amat baik, baru-baru ini juga kita tambah lagi tarikan seperti Darul Hana Water Fountain," katanya.

"Selain itu juga kita akan wujudkan perkhidmatan bas pelancong yang akan pusing bandar raya Kuching termasuk kawasan warisan Melayu di sini," tambahnya.

-- BERNAMA