Kaunter berkaitan Petronas merupakan antara penyumbang utama kepada prestasi kukuh FBM KLCI hari ini susulan pengumuman penemuan minyak di telaga eksplorasi Monument, di Teluk Mexico, Amerika Syarikat (AS).

Ia merupakan kemasukan dan penemuan pertama Petronas dalam operasi minyak dan gas di luar pantai Teluk Mexico.

Pada 4 petang, saham PetDag melonjak 84 sen kepada RM20.94, PetGas naik 20 sen kepada RM15.50 dan PetChem menambah satu sen kepada RM4.79.

Kesemua sekali, kaunter-kaunter itu menyaksikan sejumlah 39.57 juta saham bertukar tangan.

Syarikat minyak dan gas nasional itu semalam berkata penemuan tersebut menandakan pencapaian penting buat Petronas untuk mengukuhkan dan membangunkan penerokaannya di benua Amerika ketika ia sedang mempelbagaikan dan mengembangkan portfolio perniagaan minyak dan gasnya di AS dan luar pantai Teluk Mexico.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Adif Zulkifli berkata penemuan minyak di Teluk Mexico itu adalah perkembangan yang menggalakkan ketika syarikat tersebut terus mengejar peluang di luar Malaysia sejajar dengan strategi pertumbuhan tiga serampang Petronas untuk mengembangkan perniagaan teras minyak dan gas syarikat itu dengan mengembangkan asas sumbernya.

Penerokaan di telaga yang amat dalam itu telah digerudi sejauh kedalaman 10,164 meter dan menemui kira-kira 60 meter pasir mengandungi minyak bersih di Lower Wilcox dari batu pasir Paleogene.

Dengan penemuan itu, kerja penilaian lanjut diperlukan untuk menentukan potensi penuh pengumpulan minyak.

-- BERNAMA