Saham Bursa Malaysia naik berikutan kemungkinan pelantikan Wahid Omar

Bernama
April 17, 2020 05:00 MYT
Abdul Wahid telah berkhidmat selama 17 tahun dengan syarikat berkaitan kerajaan. - Gambar fail
Harga saham Bursa Malaysia Bhd meningkat pagi ini berikutan berita bahawa syarikat itu akan menyaksikan tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Abdul Wahid Omar, sebagai pengerusi baharunya.
Sehingga 9.34 pagi, pengurus bursa saham itu naik tujuh sen kepada RM5.92 selepas 155,200 saham bertukar tangan.
Bursa Malaysia tidak menafikan atau mengesahkan ketika ditanya oleh Bernama.
Abdul Wahid telah berkhidmat selama 17 tahun dengan syarikat berkaitan kerajaan, bermula dengan UEM-Renong Group (2001-2004), Telekom Malaysia (2004-2008) dan Malayan Banking Bhd (2008-2013).
Beliau dilantik sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (2016-2018) selepas tamat tempohnya sebagai senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.
Abdul Wahid telah digantikan oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, sebagai pengerusi keempat dana amanah terbesar di negara ini sejak penubuhannya pada 1978.
Sementara itu, AmInvestment Bank meningkatkan saranannya ke atas Bursa Malaysia kepada 'beli' daripada 'simpan' dengan nilai saksama yang disemak semula sebanyak RM6.40 berbanding RM6.05 sebelum ini, berdasarkan pendapatan perdagangan derivatif dan sekuriti yang tinggi pada suku pertama 2020.
"Kami menjangka pendapatan pada suku tahun tersebut pada sekitar RM67 juta," menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
AmInvestment turut membuat pelarasan kecil kepada pendapatannya bagi tahun kewangan 2020/21/22 sebanyak 3.8 peratus/0.8 peratus/0.9 peratus berikutan ia mengambil kira perbelanjaan operasi yang rendah dan pendapatan daripada fi penyenaraian.
-- BERNAMA
#Abdul Wahid Omar #Amanah #Bank Negara #Bank Negara Malaysia #Bursa Malaysia #ekonomi #kerajaan #Malaysia #menteri #operasi #Perdana Menteri #Zeti Akhtar Aziz