Kerajaan menetapkan sasaran baharu kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini sebanyak RM150 bilion berbanding sasaran awal sebanyak RM147 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 4.9 peratus yang perlu disusuli dengan pertambahan kutipan cukai yang sewajarnya.

"Dengan kemampuan LHDN untuk mendapatkan kutipan yang lebih tinggi dan rakyat yang lebih sudi untuk membayar cukai kerana yakin kerajaan yang bersih tidak akan merompak duit mereka," katanya semasa merasmikan Hari Hasil 2019, di sini hari ini.

Lim berkata sebelum ini, kerajaan meletakkan sasaran kutipan cukai langsung sebanyak RM147 bilion bagi tahun ini, peningkatan sebanyak 7.27 peratus berbanding 2018.

Katanya LHDN telah mencipta sejarah pada tahun lepas apabila mencatatkan kutipan cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu meningkat RM13.723 bilion atau 11.13 peratus lebih tinggi berbanding 2017.

"Pencapaian kutipan ini mencerminkan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh, seiring dengan pengenalan tadbir urus Kerajaan Persekutuan memperkasakan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT)," katanya.

Mengenai bayaran balik cukai pendapatan, Lim berkata setakat Januari lepas, sejumlah RM1.64 bilion telah dibayar melibatkan lebih 32,000 kes merangkumi 18,215 kes syarikat, 14,082 bukan syarikat dan 162 duti setem.

Katanya pembayaran balik tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion merangkumi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan pada tahun ini dijangka selesai dalam tempoh 10 bulan atau dalam tempoh lebih singkat.

"RM19.4 bilion (GST) dan kira-kira RM18 bilion bagi cukai pendapatan. Perbezaan pada tahun ini ialah anda akan mendapat bayaran balik awal," katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata lebih 203,000 pengakuan sukarela telah direkodkan LHDN daripada pemilik akaun bank di dalam dan luar negara di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), melibatkan cukai tambahan dan penalti yang telah ditaksir sekitar RM1.306 bilion.

"Ini merupakan petunjuk positif ke arah mencapai sasaran kutipan keseluruhan hasil bagi tahun 2019," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata LHDN telah menerima sebanyak 455,732 akaun bank milik pembayar cukai Malaysia di 57 buah negara.

"Sebahagian daripada mereka telah datang membuat pengakuan secara sukarela. Tetapi jumlah ini kita terima daripada pentadbir cukai luar negara," katanya.

PKPS merupakan kaedah untuk membantu pembayar cukai menormalkan cukai mereka dengan kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus.

PKPS menawarkan penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai akaun di luar atau dalam negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDN.

-- BERNAMA