Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada pelabur tentang potensi risiko skim tawaran syiling permulaan (ICO) apabila ia menyedari kemunculan aktiviti mengumpul dana/skim pelaburan berasaskan token digital di Malaysia dan di tempat-tempat lain.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata skim ICO juga boleh dirujuk sebagai tawaran token permulaan, pra-jualan token dan jualan awam token.

"Pengendali skim ICO biasanya mengumpul dana menerusi pengeluaran dan penjualan token digital, sebagai pertukaran bagi pelabur untuk membayar token-token ini menerusi mata wang maya, seperti Bitcoin atau Ethereum," kata suruhanjaya itu.

Meskipun semua pengendali skim ICO mahu mengumpul dana daripada pelabur, skim ini boleh distruktur dalam banyak bentuk, yang boleh termasuk pelaburan langsung dalam projek dengan sasaran membolehkan pemegang token menyertai dalam bahagian pulangan daripada projek itu.

Skim-skim tertentu juga boleh mencari dana menerusi yayasan, di mana pelabur tidak layak mendapat sebarang pulangan bagi pelaburan mereka.

Ia juga mungkin termasuk pengeluaran token yang melayakkan pelabur menikmati hak bagi produk atau perkhidmatan pada masa depan yang dijana daripada projek yang diuruskan oleh pengendali.

SC berkata para pelabur perlu berhati-hati dengan hakikat bahawa pengendali skim itu mungkin tidak ada operasi di Malaysia, dan ia akan menjadi sukar untuk mengesahkan kesahihan skim tersebut.

Ia juga berkata untuk mendapatkan semula wang yang dilabur akan tertakluk kepada undang-undang atau peraturan asing.

"Sesetengah skim ICO dan pihak-pihak yang terlibat mengendalikan operasi mereka dalam talian dan mungkin tidak dikawal selia, justeru itu para pelabur mungkin terdedah kepada risiko penipuan, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, manakala token digital yang diniagakan di pasaran sekunder mungkin mencetuskan risiko ketidakcukupan mudah tunai atau harga yang tidak menentu dan kabur.

"Struktur skim-skim ini juga mungkin mengehadkan perlindungan undang-undang dan rekursa bagi pelabur terhadap pengendali skim," kata suruhanjaya itu.

Oleh kerana terma dan ciri-ciri skim ICO mungkin berbeza dalam setiap kes, SC menasihatkan pelabur yang mahu terlibat atau melabur dalam skim OIC mendapat nasihat peguam atau profesional lain bagi kesahihan skim tersebut.

"Pelabur juga perlu memahami sepenuhnya ciri-ciri skim ICO dan menimbang dengan berhati-hati risiko sebelum menyerahkan wang," kata suruhanjaya itu.

-- BERNAMA