Serba Dinamik Holdings yakin akan merekodkan prestasi pendapatan cemerlang disebalik cabaran sektor minyak dan gas disumbang operasinya di enam buah negara asing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, perniagaan penyelenggaraan yang dijalankan syarikat itu akan terus mendapat langganan dari syarikat minyak dan gas kerana kepentingan memastikan semua aset carigali dan pemprosesan kekal beroperasi dengan baik.

“Tidak kira bagaimana prestasi sektor minyak dan gas, segmen penyelenggaraan akan sentiasa diperlukan.

“Syarikat minyak dan gas juga memerlukan penyelenggaraan aset mereka ketika ini bagi mensiap sediakan aset mereka ketika harga minyak meningkat kelak.

“Jadi peluang sentiasa wujud yang akan menyumbang positif kepada pendapatan syarikat. Syarikat minyak negara Arab Saudi mahu disenaraikan, jadi Arab Saudi selaku pengeluar terbesar minyak akan memastikan harga komoditi itu stabil.” Katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

Beliau pada masa sama yakin saham syarikat itu akan terus mendapat sambutan susulan asas perniagaannya yang kukuh.

“Asas kami kukuh, kami mempunyai operasi di Timur Tengah yang memberi pulangan 48 peratus dari keseluruhan pendapatan.” Katanya.

“80 peratus pendapatan kami adalah dari operasi dan penyelenggaraan dan baki dari Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC). Kebanyakkan kontrak kami adalah jangka panjang antara 2 ke 4 tahun sehingga 2019 hingga 2020.

“Jika harga minyak pulih kami mungkin boleh kembangkan lagi operasi kami ke peringkat serantau secara luas.” Katanya.

Serba Dinamik memulakan operasi pertama di Qatar 15 tahun lalu dengan kerja penyelenggaraan pertama pada tahun 2001, diikuti Emriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Bahrin, dan Kuwait.

Tahun lepas ia meraih pendapatan RM1.4 bilion dengan RM700 juta adalah hasil operasi di Timur Tengah dan Asia Tengah.

Selain sektor minyak dan gas, ia turut menyelenggara aset janaan tenaga antaranya loji janakuasa hidro Kota Marudu di Sabah dengan nilai EPCC RM218 juta.

Selain itu, Mohd Abdul Karim berkata syarikat itu turut menyelenggara peralatan pemprosesan minyak antaranya di Kerteh Terengganu.

“Aset di Kerteh sudah berusia 25 tahun, jangka hayat aset ini secara purata adalah 15 tahun jadi mereka perlukan penyelenggaraan berterusan untuk memastikan operasi lancar.

“Jadi ia memberikan jaminan aliran tunai kepada syarikat.” Katanya.

Dalam pada itu beliau berkata syarikat kini mempunyai dua kontrak di projek RAPID Pengerang yang menyumbang sekitar 3 peratus kepada pendapatan.

“Kami mempunyai kontrak 1 tahun dengan Petronas di Pengerang dengan kemungkinan sambungan dan kami juga mempunyai kontrak dengan Petrofac.

“Kami juga sedang membida kerja-kerja serupa di RAPID Pengerang.” Katanya sambal menambah projek RAPID Pengerang memberikan peluang besar buat syarikat perkhidmatan minyak dan gas seperti Serba Dinamik.

Pada masa sama, beliau berkata syarikat turut menimbangkan proses pengambilalihan syarikat asing untuk mengembangkan kapasiti syarikat.

“Perancangan kami adalah mahu menggunakan sebahagian peruntukkan penyenaraian untuk proses M&A namun ia mesti melibatkan aset strategik yang membantu kepakaran asas kami iaitu operasi dan penyelenggaraan dan EPCC.

“Kita sudah hampir memuktamadkan pengambilalihan syarikat berpengakalan di Eropah dan Amerika Syarikat dan ia bakal diumumkan suku kedua tahun ini.” Katanya.

Terdahulu Serba Dinamik merekodkan premium 3 sen kepada RM1.53 dengan lebih 400 juta saham bertukar tangan pada sesi pembukaan.