Penyedia platform beli-belah dalam talian, SGshop Malaysia menyasarkan transaksi pembelian di negara ini sebanyak RM10 juta pada tahun depan.

Pengarah SGshop Malaysia, Lua Cheong Hong berkata sasaran itu berdasarkan pertumbuhan pesat sektor e-dagang di Malaysia apabila semakin ramai pengguna meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap pembelian secara dalam talian.

Katanya perkembangan itu dapat dilihat melalui nilai transaksi pembelian yang direkodkan dalam tempoh dua tahun ini iaitu pada 2015 dan 2016.

"Pada 2015, kita hanya memperoleh nilai transaksi sebanyak RM1 juta, kemudian bertambah kepada RM3 juta pada 2016 sebelum mengukuhkan lagi kedudukan dengan nilai transaksi sebanyak RM5 juta pada tahun ini.

"Oleh itu, kita percaya sasaran tersebut mampu dicapai berikutan sehingga November 2017, jumlah pelanggan dalam talian yang kita miliki adalah seramai 53,000 dan dijangka meningkat sehingga 500,000 pada 2020," katanya.

Lua berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran pejabat operasi SGshop Malaysia di Bandar Medini, di sini hari ini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Penasihat kepada Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (SAME), Teh Kee Sin. Turut hadir Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Bandar Pintar Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (MIM) Yasuhiro Nakano.

Lua berkata penubuhan pejabat SGshop di Bandar Medini itu disebabkan syarikat percaya ia mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelaburan, sama ada tempatan atau antarabangsa.

"Medini merupakan kawasan yang sangat strategik selain berhampiran dengan Singapura dan memandangkan SGshop telah beroperasi di sini, kami bersedia untuk mengembangkan perniagaan kami ke seluruh Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pengembangan perniagaan di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ditubuhkan pada 2014, SGshop Malaysia menawarkan jualan pelbagai produk berkualiti dari China seperti pakaian, kasut, peralatan elektronik, produk kecantikan, peralatan rumah dan aksesori kereta.

SGshop turut beroperasi di Singapura dan Myanmar dan mempunyai pusat pemerolehan di Guangzhou, China. -- Bernama