Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kepada para pendepositnya bahawa simpanan mereka di TH adalah selamat.

“Pendeposit tidak perlu risau kerana simpanan mereka di TH dijamin oleh Kerajaan, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung Haji.

"TH juga tidak pernah lari dari tujuan asal penubuhannya dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam kelima,” ujar kenyataan daripada Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Ismee Ismail.

Kenyataan itu dibuat setelah TH telah menjadi sasaran pelbagai spekulasi dalam media sosial dan blog sejak beberapa hari ini mengenai tarikh pembayaran Bonus Pendeposit TH 2015 dan surat Bank Negara Malaysia (BNM) .

“Seperti yang telah dinyatakan oleh TH, tarikh pengumuman dan pembayaran Bonus TH adalah kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun (Januari - Mac).

“TH ingin memberi jaminan bahawa tidak terdapat sebarang kelewatan dalam mengumumkan bonus kepada para pendeposit. Sebelum pengumuman dibuat, TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses auditan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi sebagai sebahagian
daripada proses urus tadbir yang baik,” katanya.

Tambahnya, bonus akan diumumkan pada awal bulan Februari 2016 setelah melalui proses-proses dalaman dan auditan interim.

Walapun tahun 2015 diakui penuh cabaran namun berjaya menjaga prestasi kewangan yang baik, TH berkata, ia perlu membuat persediaan rapi untuk menghadapi cabaran ekonomi 2016.

Terdahulu, surat daripada BNM menyatakan nilai aset TH lebih rendah dari liabiliti, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dan kelembapan pasaran saham. Untuk mengukuhkan kedudukan TH, BNM memberi cadangan agar mengkaji semula polisi rizab TH.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam berkaitan kerajaan, TH sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan langkah dan keperluan risiko dipatuhi.

“TH mengambil maklum saranan BNM untuk mengkaji semula polisi rizabnya sebagai langkah penambahbaikan dan pengukuhan yang berterusan,” ujar kenyataan itu.