KUALA LUMPUR: Pengenalan skim baharu Foodpanda membolehkan penghantar makanan mereka meraih pendapatan sehingga 50 peratus lebih tinggi berbanding skim sebelum ini, kata pengarah urusannya Sayantan Das.

Beliau berkata, skim baharu itu, telah menghapuskan kadar mengikut jam, tetapi lebih ke arah meningkatkan kecekapan penghantar makanan dengan meningkatkan pembayaran mengikut pesanan.

“Jadi mereka yang menghantar lebih, akan diberi bayaran yang lebih,” katanya kepada sidang media hari ini.

Mengikut skim baharu itu, penghantar makanan akan mendapat bayaran sebanyak RM7 berbanding RM5 pada skim terdahulu, di samping insentif sebanyak RM150 sekiranya mereka berjaya menyempurnakan 40 jam dalam seminggu.

Sebagai tambahan, Das berkata, mereka juga akan mendapat tambahan RM1 bagi setiap pesanan antara pukul 11 malam hingga 9 pagi, serta tambahan bonus jika menyelesaikan minimum 80 jam seminggu.

“Bagi kes penghantar makanan yang tidak mendapat sebarang pesanan, atau terpaksa menunggu sehingga dua atau tiga jam, seperti yang saya sebut tadi, skim baharu ini menjamin potensi pesanan sekurang-kurangnya satu setiap jam, jadi mereka akan dibayar,” katanya lagi.

Mengulas sekiranya masih ada penghantar makanan yang tidak berpuas hati dengan skim itu, Das berkata, pihaknya tidak boleh menghalang sekiranya mereka mahu mencari syarikat lain.

“Mereka yang tidak gembira, atau tidak berpuas hati dengan skim ini, boleh terus kekal dengan Foodpanda, atau mencari alternatif dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan serupa.

“Kami tidak memaksa mereka untuk menerima skim ini, dan kami juga tidak memaksa mereka untuk meninggalkan kami,” katanya lagi.