Tutup

Berita  | Bisnes

SSPN catat keuntungan pelaburan RM151.50 juta pada suku ketiga 2019

SSPN catat keuntungan pelaburan RM151.50 juta pada suku ketiga 2019
Untuk rekod, PTPTN telah berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar 4 peratus kepada 3.52 juta akaun melibatkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta pada tahun 2018. - Facebook @PTPTNofficial
KUALA LUMPUR: Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul bagi tahun 2019 berjumlah RM151.50 juta setakat sukuan ketiga tahun ini.

Dalam satu kenyataan, hari ini, SSPN berkata, keuntungan tersebut telah menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9 peratus berbanding dengan jumlah sebanyak RM120.33 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Untuk rekod, PTPTN telah berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar 4 peratus kepada 3.52 juta akaun melibatkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta pada tahun 2018.

Berdasarkan kepada prestasi tahun semasa, PTPTN menjangkakan dapat meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pemberian dividen tersebut.
Dalam pada itu, SSPN berkata, pencapaian mereka bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah deposit adalah sebanyak RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta pada tempoh yang sama tahun 2018.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5 peratus, sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga September 2019 berjumlah RM4.65 bilion,”

“PTPTN mengunjurkan jumlah deposit bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM1.30 bilion berbanding RM1.13 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus,” menurut kenyataan SSPN.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi, PTPTN turut mengamalkan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan.

Ia dilihat bagi melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

Sementara itu, pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global.

Tambah SSPN, unjuran ini adalah berasaskan kepada pencapaian positif yang dipacu menerusi langkah berterusan promosi galakan penabungan yang dilaksanakan sepanjang tahun di seluruh negara seperti program Jelajah SSPN, Minggu Menabung dan Gerak Gempur Skim Simpanan (2G2S).

“Di samping itu, ia juga disumbangkan oleh kenaikan jumlah insentif pelepasan taksiran cukai dari RM6,000 kepada RM8,000 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan menerusi Bajet 2019,”

“SSPN merupakan instrumen simpanan yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar” di samping menawarkan pelbagai keistimewaan lain seperti geran sepadan dan perlindungan takaful” tambahnya lagi.

Dengan pelbagai keistimewaan dan insentif yang ditawarkan serta kesedaran masyarakat berkenaan penabungan bagi tujuan pendidikan, sehingga 30 September 2019, sebanyak 347,709 akaun baharu SSPN telah dibuka dan dijangka pembukaan akaun akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

Secara keseluruhan, sehingga akhir suku ketiga 2019 sebanyak 4.26 juta akaun SSPN telah dibuka sejak dilancarkan pada tahun 2014.


Tag: Skim Simpanan Pendidikan Nasional SSPN, PTPTN, keuntungan, pendidikan, pelaburan, cukai



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.