Tutup

Berita  | Bisnes

Subsidi petrol: Kerajaan masih mencari mekanisme terbaik

Subsidi petrol: Kerajaan masih mencari mekanisme terbaik
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan golongan B40 diberi keutamaan menikmati subsidi 30 sen yang akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun ini ketika pembentangan Belanjawan 2019 tahun lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mencari mekanisme terbaik bagi penyaluran subsidi petrol secara bersasar menerusi sistem kad khas.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen berkata kementeriannya bersama Kementerian Kewangan (MOF) masih meneliti mekanisme paling baik secara keseluruhan bagi pelaksanaan subsidi bersasar itu.
“Mekanisme bagaimana kita hendak laksanakan inisiatif ini belum lagi dimuktamadkan. MOF telah membuka tender kepada mana-mana pihak yang ingin memberi cadangan terbaik untuk melaksanakan program subsidi petrol bersasar itu.

“Kita masih dalam pertimbangan dan penelitian cadangan, kedua-dua kementerian belum membuat apa-apa keputusan berhubung pelaksanaan ini. Sampai hari ini, kita belum ada mekanisme muktmad berhubung subsidi ini.
“Kita tentu akan ada, saya beri jaminan kita sebenarnya memang mengambil berat tentang masalah rakyat khasnya yang di kawasan pedalaman dan juga luar bandar,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol (BN), Datuk Salim Sharif yang mahu kerajaan menyatakan keberkesanan mekanisme baru mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui subsidi petrol RON95 secara bersasar.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan golongan B40 diberi keutamaan menikmati subsidi 30 sen yang akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun ini ketika pembentangan Belanjawan 2019 tahun lepas.

Selain pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc, pemilik motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi RON95 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter dan 40 liter bagi motosikal.

Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal.