Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Google, Sundar Pichai, 46, kini bukan sahaja menggalas tanggungjawab besar di syarikat terkemuka dunia itu, malah diberi mandat untuk memimpin syarikat induk, Alphabet Inc hari ini.

Ia berikutan pengasas bersama Google, Larry Page dan Sergey Brin mengumumkan peletakan jawatan di syarikat induk tersebut dan menyerahkan tugas tersebut kepada Pichai.

Kedua-duanya akan meninggalkan peranan masing-masing sebagai CEO Alphabet dan presiden namun akan kekal dalam lembaga pengarah, pemegang saham serta pengasas bersama syarikat itu.

"Alphabet dan Google tidak lagi memerlukan dua CEO dan seorang Presiden," kata mereka (Page dan Brin) menerusi satu laporan portal antarabangsa.

Sehubungan itu, Page dan Brin dalam satu kenyataan kepada kakitangannya memaklumkan, Pichai, dilihat menjadi individu yang paling layak untuk menjadi CEO kepada Google dan Alphabet pada masa depan.

Alphabet yang ditubuhkan pada 2015 memberikan identiti berasingan kepada Google dan projek baharu seperti unit kereta pemanduan sendiri, Waymo dan syarikat bandar pintar, Sidewalk Labs.

Penubuhan syarikat induk terbabit bertujuan untuk menjadikan aktiviti syarikat gergasi tersebut menjadi 'lebih bersih dan bertanggungjawab' selepas enjin carian internet itu berkembang secara meluas di seluruh dunia.

Sebelum ini, Pichai pernah mengambil alih jawatan semasa ketiadaan Page dan Brin, ketika syarikat itu berdepan pelbagai kontroversi berikutan kedudukannya yang dominan dalam dunia teknologi.

“Google adalah majoriti terbesar Alphabet dari segi pendapatan, keuntungan dan segala-galanya, jadi mengapa tidak meletakkan individu yang menjalankan tugas hebat untuk menguruskan keseluruhan syarikat?” kata Ketua Penganalisis Technalysis Research, Bob O’Donnell.

Pichai mengisi kekosongan ketika syarikat itu berdepan siasatan antilambakan dan kontroversi berhubung amalan data di Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara lain.

Syarikat itu juga berdepan tuduhan gagal menangani gangguan seksual di tempat kerja.

Pichai akan mempunyai peranan baharu apabila berdepan tuduhan daripada Presiden Donald Trump bahawa syarikat itu ‘berat sebelah’ dalam carian internet, selain tuduhan Amnesty International bahawa model perniagaan Alphabet menyebabkan hak asasi manusia dilanggar kerana membolehkan pengguna dipantau.

Berbalik pada 2014, Pichai telah dilantik oleh Page, untuk bertanggungjawab ke atas produk-produk utama syarikat tersebut.

Langkah ini memberi Sundar Pichai kawalan ke atas produk perkhidmatan utama oleh Google termasuk carian dan unit teras pengiklanan yang menjana sebahagian besar daripada pendapatan syarikat.