Pengasas dan pemilik D’Herbs Hol­ding Sdn. Bhd., Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memberi bayangan syarikat beliau bakal disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Menurut Aliff, hasrat untuk menyenaraikan syarikat berkenaan ke Bursa Malaysia sudah lama menjadi impiannya yang sekali gus akan merealisasikan cita-citanya untuk meneroka pasaran global.

Usahawan popular itu berkata, selepas 11 tahun mengukuhkan jenama D'Herbs dalam pasaran domestik, beliau semakin yakin untuk bersaing dengan produk-produk kesihatan dan kecantikan antarabangsa.

Dalam usaha meluaskan empayar perniagaannya itu, Aliff berkata, syarikatnya memerlukan suntikan modal sehingga RM80 juta dan penyenaraian di Bursa Malaysia kelak akan membantu beliau mencapai keinginan itu.

"Selepas 11 tahun mengasaskan perniagaan ini, saya semakin bersedia untuk meneroka pasaran antarabangsa. Hanya menerusi penyenaraian di Bursa Malaysia, jenama D'Herbs dapat dipasarkan di luar negara," kata Aliff ketika berkunjung ke bilik berita Astro AWANI pada Khamis.

Kata Aliff, matlamat mengembangkan pasaran ke luar negara juga bertitik tolak pada cita-citanya untuk keluar daripada bergelar jaguh kampung.

"Saya tak mahu jadi jaguh kampung atau jaguh Malaysia sahaja. Saya nak buktikan ada jenama tempatan yang boleh diagungkan di peringkat dunia," ujarnya lagi.

Aliff yang baru menginjak usia 32 tahun pada Rabu berkata, bagi mencapai hasrat menyenaraikan syarikat D'Herbs Holdings Sdn Bhd itu, beliau bertuah kerana mendapat panduan dan bimbingan daripada tokoh perniagaan tersohor, Tan Sri Rozali Ismail.

Kata Aliff, Rozali yang juga Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam usaha menyenaraikan D'Herbs ke Bursa Malaysia.

"Saya bersyukur kerana dibimbing oleh Tan Sri Rozali. Beliau yang sememangnya terkenal kerana kejayaan dalam bidang perniagaan banyak memberi panduan kepada saya," ujar Aliff yang selama ini sangat terkenal kerana merangka strategi pemasaran perniagaannya sebagai jenama masyarakat.

D'Herbs merupakan jenama produk kesihatan dan kecantikan yang diasaskan Aliff lebih sedekad lalu.

Kejayaan produk berkenaan menguasai 70 peratus pasaran domestik melonjakkan perniagaan beliau sekali gus memasyhurkan namanya.