Tutup

Berita  | Bisnes

Syarikat Jepun minat melabur dalam sektor pelancongan, teknologi solar di Sabah

Syarikat Jepun minat melabur dalam sektor pelancongan, teknologi solar di Sabah
Mohd Shafie berkata, syarikat dari Jepun juga meminta kerajaan Sabah menyediakan tanah seluas 10 hektar bagi membangunkan ladang solar. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beberapa syarikat dari Jepun telah menyatakan hasrat untuk membuat pelaburan dalam sektor pelancongan dan pembangunan ladang solar berteknologi tinggi di negeri ini.

Beliau berkata syarikat-syarikat terbabit mencadangkan beberapa pulau berhampiran Kota Kinabalu, termasuk Pulau Sulug, bagi menempatkan pelaburan mereka untuk membangunkan resort berkonsepkan eko pelancongan dilengkapi kemudahan hotel.
"Syarikat-syarikat dari Jepun ini berminat dalam bidang pembangunan hartanah bagi sektor pelancongan kerana ia menjadi keutamaan mereka. Ia bukan setakat menyediakan prasarana seperti resort dan hotel (di pulau dicadangkan) bahkan membekalkan tenaga elektrik menggunakan teknologi solar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombangan pelabur dari Jepun yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Wanoyu Global Co.Ltd Nikko Doh, di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah, pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Sabah akan meneliti terlebih dahulu cadangan untuk membina resort di Pulau Sulug, memandangkan pulau itu adalah antara lima taman marin dilindungi di bawah Taman-Taman Sabah.

"Ini adalah satu ruang dan peluang (untuk Sabah) kerana ia sudah pasti akan membawa (lebih ramai) pelancong dari Jepun datang ke negeri ini.

"Namun, kita perlu melihat perkara ini terlebih dahulu termasuk melihat bagaimana pendekatan terbaik dalam membawa pelaburan ke pulau berkenaan kerana ia taman marin dilindungi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata, syarikat dari Jepun juga meminta kerajaan Sabah menyediakan tanah seluas 10 hektar bagi membangunkan ladang solar.

Mereka juga berminat untuk melabur dalam bidang penternakan organik seperti telur ayam di Sabah, katanya.

Sementara itu, Nikko, jurucakap bagi kesemua syarikat pelabur itu berkata, pihaknya berharap mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada kerajaan Sabah terhadap perancangan mereka untuk membawa teknologi tinggi dari Jepun ke negeri ini.

-- BERNAMA