Di dalam ekosistem pengangkutan awam udara, hanya dua syarikat utama sahaja yang membekalkan pesawat ‘wide-body’ kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia, iaitu Airbus dan Boeing.

Di Malaysia, Airbus merupakan pembekal utama pesawat penumpang, dengan jumlah tempahan sebanyak
713 pesawat. Malaysia juga merupakan pasaran ketiga terbesar Airbus di rantau Asia Pasifik selepas China
dan India. Ini kerana Malaysia Airlines dan AirAsia membekalkan fleet mereka dengan Airbus secara meluas.

Kini, Malaysia Airlines (MAS) mempunyai 15 buah pesawat Airbus A330-800, enam buah pesawat A380, dan akan menerima enam buah pesawat terbaru mereka, Airbus A350 XWB.


Malaysia Airlines Dan Airbus, hubungan lebih empat dekad

Hubungan Airbus dengan Malaysia bermula lebih empat dekad yang lalu, pada Ogos 1978 apabila MAS membuat pesanan pertamanya, iaitu A300B4 menjadikan MAS antara pelanggan yang terawal bagi syarikat perusahaan pesawat di Eropah ini.

Sekitar tahun 1990, MAS menambah pesanan dari Airbus sebanyak 10 buah pesawat badan lebar baharu A330-300 dengan enjin kembar.

Malaysia Airlines Mengembangkan Perniagaan Bersama Airbus

Sejak A330 digunakan dalam perkhidmatan MAS dari tahun 1995, MAS memiliki 15 buah pesawat penumpang A330-300 dan tiga pesawat kargo A330- 200F yang beroperasi di bawah MASkargo.

Tahun 2012 merupakan mercu tanda hubungan Malaysia Airlines dan Airbus apabila model A380 diperkenalkan. Bermula dari Jun 2012, MAS telah menerima enam pesawat A380, termasuk pesawat A380 yang ke-100 keluaran Airbus. MAS kini menggunakan pesawat ini dalam penerbangan tanpa henti Kuala Lumpur ke London.

Pada September 2015, Malaysia Airlines menandatangani perjanjian penyewaan dengan Air Lease Corporation untuk enam buah pesawat A350-900. Penghantaran pesawat tersebut akan bermula dari suku keempat tahun 2017 sehingga ke pertengahan tahun 2018.

AirAsia Menjadi Pelanggan Terbesar Negara

Pada Mac 2005, syarikat penerbangan tambang murah terbesar di rantau ini, AirAsia, menjadi pelanggan Airbus terbaru apabila memeterai kontrak untuk memperoleh 60 buah pesawat A320. Sejak itu AirAsia telah menempah 200 buah pesawat A320neo di Air Show Paris 2011 dan memesan 100 lagi pesawat A320 pada Disember 2012.

Keseluruhannya, AirAsia meningkatkan jumlah pesanan A320 Family kepada 478 buah, termasuk 304 buah A320neo dan 174 buah A320ceo. AirAsia telah menerima 183 buah pesawat A320 (171 buah A320ceo dan 12 buah A320neo) untuk perkhidmatannya, termasuk A320neo pertama pada bulan September 2016.

A321neo Diperkenalkan Di Malaysia

Di Farnborough Airshow 2016, AirAsia menandatangani kontrak dengan Airbus untuk pembelian 100 buah pesawat A321neo. Ini merupakan tempahan pertama dibuat oleh AirAsia untuk model terbesar dalam keluarga A320 yang paling laris. Pesanan ini membawa jumlah keluarga A320 yang dipesan oleh AirAsia kini bertambah menjadi sebanyak 578 buah dan mengesahkan kedudukan syarikat penerbangan itu sebagai pelanggan syarikat penerbangan yang terbesar untuk barisan produk lorong tunggal Airbus.

Pada Jun 2007, AirAsia X, anak syarikat sekutu Kumpulan AirAsia jarak jauh kos rendah, menandatangani kontrak untuk membeli 15 buah pesawat A330-300. Syarikat penerbangan itu kemudiannya meningkatkan jumlah pesawat A330-300 yang dipesan kepada 31 buah.

Pada Disember 2014, AirAsia X mengesahkan tempahan 55 buah pesawat A330neo dengan Airbus. Pada 2015, AirAsia X telah menukar 11 daripada tempahan A330-300 terdahulunya kepada A330neo. Ini membawa jumlah keseluruhan tempahan A330neo kepada 66 buah dan A330ceo kepada 20 buah.

A350 Di Malaysia

AirAsia X telah menerima kesemua A330-300 dan kini mengendalikan 30 buah A330-300. Penghantaran pesawat A330neo tersebut akan bermula pada 2018. Pada tahun 2009 AirAsia X menempah pesanan untuk 10 buah pesawat A350 XWB demi meluaskan lagi rangkaiannya pada masa hadapan. AirAsiaX memilih varian A350-900 yang sudah memasuki perkhidmatan Qatar Airways sejak Januari 2015. Pesawat badan lebar saiz pertengahan ini akan dilengkapi dengan kira-kira 400 tempat duduk mengikut kehendak AirAsia X.

Menurut Airbus, pesawat A350-900 ini dapat mencapai penjimatan bahan api sebanyak 25 peratus berbanding dengan pesawat sama saiz yang lain. Ini membolehkan penerbangan jarak jauh pada kos yang lebih rendah berbanding sebelum ini.

A350 Pada Bulan Disember 2017

Airbus dan Malaysia Airlines akan menerima pesawat pertama dari enam yang telah dipesan oleh syarikat penerbangan itu dari Airbus pada bulan Disember ini. Pesawat baru ini akan menggantikan A380 yang kini digunakan untuk penerbangan tanpa henti MAS dari Kuala Lumpur ke London. MH 1, MH 2, MH 3, dan MH 4 akan menggunakan pesawat A350 baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Peter Bellew, walaupun MAS telah memesan enam buah pesawat A350, laluan KL-London hanya memerlukan maksimum empat buat kapal sahaja. Selebihnya akan diperkenalkan untuk laluan baru yang akan diumumkan oleh syarikat itu nanti.

Airbus dan Malaysia

Airbus adalah sinonim dalam sektor penerbangan awam Malaysia, dan jika rakyat inginkan kejayaan dalam pembangunan Malaysia, mungkin tiba masanya untuk rakyat mengenali lebih mendalam, betapa besarnya syarikat penerbangan ini di negara kita.