Negeri Terengganu akan meneruskan misi memacu agenda Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri itu dengan membina kerjasama bersama syarikat gergasi teknologi dunia, Huawei.

Kerjasama ini dijalinkan melalui sebuah memorandum persefahaman (MoU) antara Terengganu dan syarikat itu yang dimeterai pagi ini.

Antara yang hadir pada majlis yang berlangsung di ibu negara adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Mewakili pihak Huawei adalah Ketua Pegawai Eksekutif (Bergilir) Huawei, Guo Ping.

MoU hari ini antara lain memperjelaskan pelan pembangunan ICT di Terengganu melalui sebuah ‘pelan halatuju’ yang akan membawa pelbagai teknologi dan kemahiran serta kepakaran dari Huawei ke negeri pantai timur itu.

Ini termasuk menumpukan kepada empat jurusan utama industri ICT, iaitu infrastruktur jalur lebar, infrastruktur cloud, kemahiran inovasi, dan kepakaran modal insan.

Datuk Seri Zahid dalam ucapan perasmian berkata “syarikat teknologi seperti Huawei boleh membantu negara melalui perkongsian ilmu dan maklumat. Malaysia sememangnya mengalu-alukan kerjasama diantara sektor swasta dan kerajaan”.

Sementara itu Guo Ping dalam ucapannya berkata “ekonomi digital adalah sebuah frasa yang harus diguna dalam konteks perkataan ekonomi. ICT dan digital ekonomi adalah pemangkin kepada pengembangan ekonomi. Kerjasama dengan kerajaan negeri dan pusat boleh menjadikan pamangkin ini menjadi realiti”.

MoU ini ditandatangani pada majlis Hari Inovasi Asia Pasifik anjuran bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Business Council Malaysia-China, MDEC, dan Huawei.