Syarikat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) hari ini mengumumkan persaraan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkuatkuasa 30 Jun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, PETRONAS berkata, ia adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin awal hari ini bahawa Wan Zulkiflee telah dilantik sebagai Pengerusi syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang baharu.

BACA: Sah! Wan Zul tinggalkan Petronas

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan perlantikan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat itu yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai, 2020.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu mengumumkan Wan Zulkiflee sebagai Pengerusi syarikat Malaysia Airlines baharu.

“Pelantikan Wan Zulkiflee oleh kerajaan sebagai Pengerusi MAB adalah berlandaskan pengalaman luas beliau dalam memandu PETRONAS dalam mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan, ketika syarikat mengharungi pelbagai rintangan.

“Beliau dilantik sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS pada 1 April 2015, ekoran kejatuhan industri minyak dan gas kerana harga minyak mentah yang merudum ketika itu.

"Di bawah pimpinan beliau, Wan Zulkiflee telah memperkenalkan beberapa langkah untuk mencapai pengurangan kos yang efisien, ketika syarikat beroperasi dalam suasana yang cukup mencabar,” menurut kenyataan itu lagi.

PETRONAS berkata, langkah transformasi Wan Zulkiflee dalam beberapa bidang, antara lain termasuklah kecekapan tadbir urus, kecemerlangan komersial, pengoptimuman portfolio, langkah transformasi digital, dan budaya organisasi baharu, telah mewujudkan prestasi syarikat yang mantap, serta asas yang kukuh.

“Beliau juga telah mengubah PETRONAS menjadi sebuah syarikat yang lebih mampan dan mampu berdaya saing dalam era perubahan tenaga,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, PETRONAS turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan Tengku Muhammad Taufik sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan mereka yang baharu, berkuatkuasa 1 Julai ini.

Syarikat itu berkata, Tengku Muhammad Taufik ketika ini merupakan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS, dan pengalaman serta kepakarannya diyakini dapat membawa syarikat ke arah mercu yang lebih cemerlang.

“Beliau membawa bersama pengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang laporan kewangan, kajian kebolehlaksanaan, analisa projek, penstrukturan projek kapita, serta pengurusan risiko dalam industri minyak dan gas.

“Beliau juga mempunyai pendedahan yang signifikan dalam perancangan strategik, serta latihan penilaian pelaburan, dan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dengan syarikat, Tengku Muhammad Taufik telah berjaya mewujudkan strategi kemasukan untuk perniagaan, dan bekerja rapat dengan pengurusan kanan untuk pelan pelaburan, serta merangka keperluan pembiayaan,” menurut kenyataan itu lagi.

PETRONAS berkata, Pengerusinya Datuk Ahmad Nizam Salleh serta ahli Lembaga Pengarah yang lain mengucapkan selamat datang kepada Tengku Muhammad Taufik, dan sedia berkhidmat dengan beliau selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu.