Kerajaan terpaksa bergantung kepada sumbangan dividen khas Petronas untuk bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tertunggak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tunggakan berjumlah RM19.4 bilion gagal dibayar kepada 121,429 syarikat dan individu kerana baki Tabung Bayaran Balik GST hanya ada RM148.6 juta.

“Akaun Hasil Disatukan hanya mempunyai RM450 juta pada 30 April 2018. Jumlah ini tidak mencukupi untuk dipindahkan kepada Tabung Amanah GST untuk membiayai bayaran balik GST yang tertunggak.

“Oleh yang demikian, Kerajaan terpaksa bergantung kepada sumbangan dividen khas Petronas untuk membuat bayaran balik GST yang tertunggak sebanyak RM19.4 bilion pada tahun 2019.” Katanya.

Di bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014), semua bayaran GST yang dikutip mesti dibayar terus kepada Tabung Bayaran Balik GST untuk membolehkan bayaran balik dibuat.

Namun Guan Eng mendakwa perkara itu tidak dilakukan, sebaliknya ia dibayar terus kepada Akaun Hasil Disatukan, yang menyalahi undang-undang.

Beliau turut menyelar kenyataan Bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak yang merujuk kepada Laporan Ketua Audit berhubung kedudukan bayaran balik GST sehingga 5 Jun 2018.

“Perlu ditegaskan bahawa saya hanya bongkarkan skandal RM19.4 bilion yang tidak dibayar balik dalam 2 minggu di dalam Majlis Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2018, dan bukan pada 5 Jun 2018.” Katanya.

Justeru beliau berkata lebih 120 ribu syarikat dan individu ini menjadi saksi atas kegagalan bayaran balik GST itu sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak.