Hanya 17 peratus perusahaan kecil dan sederhana negara menyumbang kepada eksport.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata negara mensasarkan eksport kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat ditingkatkan kepada 21 peratus menjelang 2020 melalui pemerkasaan e-dagang.

Mustapa berkata ia ditambah dengan potensi pasaran Asia Tenggara yang masih baru dan dinamik ditambah potensi PKS tempatan mengembangkan perniagaan teruatama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Rata-rata PKS yang banyak mengeksport adalah daripada sektor pembuatan dan kita sedang cuba untuk mengembangkan sektor perkhidmatan untuk dieksport di masa depan," kata beliau kepada media selepas menghadiri bengkel 'Go Digital' anjuran Google di ibu negara pada Isnin.

Tambahnya, bagi mempromosikan e-dagang kepada usahawan, satu jawatankuasa kebangsaan turut ditubuhkan kira-kira dua bulan lalu selain inisiatif yang dijalankan beberapa agensi serta syarikat IT lain.

"Pertumbuhan dalam e-dagang dan perniagaan internet sangat memberangsangkan dan banyak kempen kesedaran telah dilaksanakan baik dari syarikat IT mahupun agensi kerajaan seperti SME Corp, MATRADE, MDEC semuanya sedang berusaha ke arah ini dan ini sangat baik bagi industri," ujar beliau.

Pada acara tersebut, Mustapa bersama beberapa usahawan turut berkongsi pengalaman manfaat perkhidmatan Google dalam mengembangkan perniagaan.