Berita  | Bisnes

TM lantik Noor Kamarul sebagai CEO baharu

TM lantik Noor Kamarul sebagai CEO baharu
Khidmat Imri Mokhtar sebagai CEO TM Malaysia ditamatkan, lembaga pengarah berikan penghormatan tinggi kepada beliau. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, mewakili Pemegang Saham Khas Syarikat iaitu Kementerian Kewangan, berkuatkuasa 13 Jun 2019.

Selain jawatan tersebut, beliau turut dilantik sebagai Pengarah Urusan serta Pengarah Eksekutif syarikat tersebut.

Pengerusi TM, Rosli Man dalan kenyataannya hari ini, mengalu-alukan pelantikan berkenaan.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan barisan Pengurusan, kami dengan berbesar hati mengalu-alukan Datuk Noor Kamarul.

"Kami akan meneruskan perjalanan transformasi kami dan melaksanakan inisiatif-inisiatif strategik yang telah dirangka bagi membantu TM berdepan cabaran-cabaran masa kini yang sedang dihadapi dan meletakkan Syarikat pada kedudukan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan," katanya.

Noor Kamarul, 60, berpengalaman selama 34 tahun dalam menguruskan rangkaian dan perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia serta Indonesia, dengan memfokus kepada Perkhidmatan-perkhidmatan Rangkaian Tetap, Rangkaian Mudah Alih dan Jalur Lebar Mudah Alih.

Beliau telah menerajui strategi, perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek daripada rangkaian kawasan baharu (Greenfield network), 3G, 4G hinggalah penggabungan rangkaian Selular.

Sementara itu, Imri Mokhtar telah diberi penghormatan oleh lembaga pengarah TM.

“Pada masa yang sama, mewakili Lembaga Pengarah dan Pengurusan TM, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Imri Mokhtar kerana memegang teraju Syarikat sepanjang tempoh peralihan, khususnya semasa waktu-waktu kritikal dalam persekitaran yang mencabar, landskap yang kompetitif dan industri yang dinamik," tambah Rosli.



Tag: CEO, Indonesia, Kementerian Kewangan, Malaysia, tm, axiata, digi, telenor, Imri Mokhtar, Noor Kamarul Anuar Nuruddin, rosli man


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.