Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), bakal membolehkan Felda memperluaskan pasarannya di peringkat antarabangsa.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata perjanjian terbesar dunia itu dilihat sebagai peluang keemasan kepada Felda untuk menembusi pasaran khususnya di Amerika Latin, yang menjadi fokus kepada organisasi tersebut.

"TPPA ini kerajaan masuk dan kemudian dimomokkan pula kononnya Amerika Syarikat akan menjajah kita. Ini semua tidak benar. Felda sendiri ada kilang di Amerika Syarikat dan adakah kita menjajah Amerika Syarikat? tidak.

"Apa yang berlaku, dengan TPPA kita seronok apabila kita (Felda) boleh meluaskan pasaran kita. Kita dah mula buat perancangan untuk meluaskan pasaran kita di Amerika Latin," katanya dalam ucapan perasmian Pusat Literasi Keluarga, Felda Raja Alias 1, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Isa berkata melalui TPPA, ia juga akan membolehkan Felda meraih keuntungan yang lebih besar sekali gus mampu memberi pulangan yang lebih lumayan kepada warganya.

Malaysia adalah antara 12 negara yang menandatangani pakatan perdagangan bersejarah TPPA di Auckland, New Zealand pada hari ini.

Negara-negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.