Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) boleh dipinda dengan persetujuan semua pihak terlibat.

Menurut teks akhir perjanjian itu yang dikeluarkan Khamis, pindaan boleh dibuat selepas setiap pihak melengkapkan prosedur undang-undangnya dan memaklumkan, secara bertulis, depositori yang bertanggungjawab untuk menerima dan mengedarkan dokumen.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas serantau yang komprehensif dan mempunyai standard tinggi, akan meningkatkan aliran pelaburan dan perdagangan antara negara terlibat selain mengintegrasikan rantau ini kepada pasaran dan asas pembuatan tunggal.

Selepas lima setengah tahun rundingan, Malaysia dan 11 negara lain -- Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam berjaya memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Okt, 2015, di Atlanta, Georgia.

Menurut teks itu juga, TPPA terbuka kepada penyertaan daripada ahli-ahli Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik dan negara lain atau bahagian kastam berasingan selepas melengkapkan prosedur undang-undang yang terpakai pada setiap pihak.

Mana-mana pihak yang bercadang untuk menarik diri daripada perjanjian itu boleh berbuat demikian dengan menyediakan notis penarikan secara bertulis kepada depositori dan pada masa sama memaklumkan kepada pihak lain mengenai penarikan itu.

"Penarikan tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh enam bulan selepas satu pihak menyediakan notis bertulis kepada depositori, melainkan pihak lain bersetuju pada waktu yang berbeza," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan pada Khamis berkata teks TPPA akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan untuk dibahaskan.