Berita  |  Bisnes

True Fitness henti operasi di Malaysia

True Fitness henti operasi di Malaysia
True Fitness dan True Spa Malaysia telah menamatkan operasinya di sini bermula hari ini. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: True Fitness dan True Spa Malaysia telah menamatkan operasinya di sini bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, pusat kesihatan itu yang telah beroperasi di Malaysia selama 12 tahun, berkata penamatan operasi itu ekoran prestasi perniagaan yang tidak menguntungkan.

"Tahun-tahun sebelum ini telah terbukti mencabar, dan malangnya perniagaan ini tidak berdaya maju daripada segi kewangan kerana keadaan pasaran yang sentiasa berubah," katanya sambil menambah bahawa ia telah berusaha untuk mencari alternatif untuk ahli-ahlinya meneruskan keahlian serta sesi latihan peribadi mereka.

"True Fitness telah membeli keahlian di Chi Fitness untuk ahli-ahlinya berserta sesi latihan peribadi untuk digunakan di Chi Fitness.
"Ahli-ahli True Fitness di Malaysia akan mempunyai akses kepada semua cawangan Chi Clubs kecuali yang terletak di Bangsar, Bangsar South (Nexus) dan Northern Clubs.

"Penebusan boleh dibuat dalam talian. Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenai cara membuat penebusan tidak lama lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, tempoh penebusan untuk keahlian dan latihan peribadi adalah sah untuk 24 bulan bermula 3 Julai 2017 atau setelah semua bulan keahlian dan sesi latihan peribadi telah digunakan.

True Fitness juga berkata ia tidak dapat membayar balik secara tunai yuran keahlian bulanan atau sesi latihan peribadi yang tidak digunakan.

Syarikat itu juga sedang mencari pembekal perkhidmatan untuk menggantikan True Spa.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi akibat daripada penutupan kelab dan ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan anda yang lepas," tulis kenyataan itu lagi.

Semalam, beberapa media melaporkan True Fitness telah menutup operasinya di Thailand. Difahamkan, ahli-ahli tidak dimaklumkan mengenai penutupan ini.

True Fitness mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan 100 pekerja.