Tutup

Berita  | Bisnes

Tun Razak Exchange CBD bertaraf dunia untuk Kuala Lumpur

Tun Razak Exchange CBD bertaraf dunia untuk Kuala Lumpur
Gambaran proses pembangunan Tun Razak Exchange. - Sumber: TRX
KUALA LUMPUR: Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) dijangka mampu membentuk kehidupan berbeza dan baharu di kalangan warga Kuala Lumpur.

Dibangunkan dengan model pusat kewangan global terkemuka di dunia seperti Canary Wharf di London, Battery Park di New York dan Marina Bay di Singapura, pembangunan TRX bakal dikenali sebagai pusat kewangan serta komersial bertaraf dunia untuk Kuala Lumpur.

Central Business District (CBD)

Ia disasarkan menjadi salah satu daripada projek penjanaan bandar penuh transformasi yang menggambarkan masa depan Central Business District (CBD) Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Azmar Talib menjelaskan sebagai pusat kewangan dan komersial terbesar di Malaysia, TRX akan mewujudkan ekosistem yang lebih berkesan serta efektif untuk aktiviti perniagaan.

Ia dilengkapi kemudahan yang mampu menyokong akses kepada pekerja dan bakat berkemahiran intelektual menerusi jaringan hubungan yang lebih luas.
​WEB STORY: Tun Razak Exchange CBD bertaraf dunia untuk Kuala Lumpur​
"Malaysia bakal menikmati sebuah pusat hab kewangan khusus di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Selain itu, infrastruktur sedia ada dan juga yang bakal diwujudkan di TRX akan diperbaharui dan dipertingkatkan serta ruang kerja dan awam yang luas akan menawarkan komuniti bandar satu pengalaman bertaraf dunia.

"Apa yang penting, sebagai pusat hab kewangan, kami menarik minat ramai pemain kewangan antarabangsa untuk datang dan membuka pejabat cawangan di sini dan secara tidak langsung, ia akan menjana banyak aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia," kata Azmar dalam lawatan eksklusif  ke tapak pembinaan TRX bersama Astro AWANI.


Kuala Lumpur sebagai bandaraya kewangan global

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM40 bilion, TRX mampu membantu dalam penjenamaan Kuala Lumpur sebagai bandarraya kewangan global.

Selain daripada manfaat menempatkan kelompok institusi kewangan bertaraf dunia dan syarikat tempatan di satu lokasi, TRX menyediakan suasana bertaraf dunia bagi menyokong pertumbuhan masa depan di bandar ini dan penciptaan pekerjaan dalam sektor kewangan dan perkhidmatan.

Bagi memberi kepuasan sepenuhnya buat bakal penyewa, pemilik, pekerja, penghuni dan penduduk di TRX, daerah itu mempunyai sambungan lengkap ke jalan-jalan utama, lebuhraya-lebuhraya utama serta sistem pengangkutan awam yang pelbagai.

"Apabila TRX siap, ia akan menjadi hab sambungan selesa dengan akses kepada pelbagai lebuh raya. Integrasi perkhidmatan pengangkutan adalah antara kekuatan TRX dalam menjadi daerah kewangan Kuala Lumpur," kata Azmar.

Daerah itu akan mempunyai akses terus ke lebuh raya utama seperti Terowong SMART, Lebuhraya Maju (MEX) dan Lebuhraya DUKE 3, selain sambungan ke Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

Stesen pertukaran Mass Rapid Transit (MRT) TRX akan memperkukuhkan lagi hubungan pengangkutan TRX, dengan adanya aliran Sungai Buloh-Kajang yang mengelilingi pusat bandar Kuala Lumpur dan aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang menghubungkan kawasan sub-bandar utama.

Dengan kedua-dua aliran MRT yang bakal melalui Stesen TRX, ia akan memudahkan pengguna bergerak dari pusat bandar ke kawasan-kawasan lain di Lembah Klang.

Stesen TRX setinggi lima tingkat dan sepanjang 250 meter, akan menjadi stesen bawah tanah paling dalam sepanjang aliran Sungai Buloh - Kajang serta sudah hampir siap.

TRX juga akan mengintegrasi sambungan pengangkutan di kawasan terbabit dengan pengangkutan lain seperti LRT dan Monorel.

Sebagai sebahagian daripada konsep daerah mesra pejalan kaki, TRX juga bekerjasama dengan DBKL untuk membina sambungan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan itu dengan Bukit Bintang.

Laluan pejalan kaki itu juga adalah ciri penting TRX memandangkan orang ramai yang menggunakan MRT boleh berjalan keluar dari stesen itu dan masuk terus ke pusat beli-belah atau melalui sebuah taman yang dilengkapi laluan berbumbung.

Signature Tower sebagai ikon

Tambah Azmar, menara ikon yang dikenali sebagai Signature Tower menjadi mercu tanda utama untuk keseluruhan projek pembangunan TRX. Ia juga bertindak sebagai pemangkin pembangunan fizikal untuk bangunan-bangunan lain di kelilingnya serta menyokong pengukuhan jenama TRX secara amnya.

Menara tersebut yang terdiri daripada 93 tingkat, merupakan satu-satunya bangunan di TRX menawarkan ruang pejabat untuk disewa.

Mengulas mengenai persepsi negatif yang menyelubungi pembangunan TRX berikutan isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmar menjelaskan, pemindahan aset daripada 1MDB Real Estate Sdn Bhd kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) di bawah Kementerian Kewangan telah berjaya menangkis persepsi itu serta mengatasi dan selesaikan pelbagai masalah.

"Apabila kerajaan memindahkan TRX kepada seliaan Kementerian Kewangan, ia berjaya mengatasi pelbagai masalah. Lihat sekarang, kita mempunyai banyak syarikat pelabur global besar yang menunjukkan minat terhadap projek kami.

"Lendlease International dari Australia merupakan rakan kongsi dan pemegang saham kami, Kumpulan Mulia dari Indonesia membangunkan Signature Tower, dan beberapa pemain industri antarabangsa lain turut terlibat. Saya yakin mereka dapat lihat nilai sebenar yang TRX bawa dan kesemua persepsi negatif ini telah dikurangkan," kata Azmar.

Projek TRX adalah usaha sama antara TRX City dan Lendlease Australia dan apabila siap, ia akan terdiri daripada pusat beli-belah, stesen MRT, empat menara pejabat Gred-A termasuk Signature Tower, enam menara kediaman, dua buah hotel lima bintang, taman seluas 12 ekar serta ruang letak kereta yang boleh memuatkan sehingga 20,000 kenderaan setiap masa.

TRX mempunyai tempoh pembangunan selama 15 tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada 2030, dengan fasa pertama dijangka siap pada 2018.