Syarikat perkongsian pengangkutan, Uber mencatatkan kerugian sekurang-kurangnya RM5.102 bilion (USD1.27 bilion) bagi separuh pertama 2016.

Prestasi syarikat itu dikatakan ditarik turun oleh kerugian beberapa anak syarikatnya.

Uber sebelum ini mencatatkan kerugian USD520 juta pendapatan sebelum cukai pada suku pertama 2016.

Ia kemudiannya mencatat kerugian lebih USD750 juta pada suku seterusnya.

Nilai perjalanan di platform Uber bagaimanapun mencatat peningkatan dari USD3.8 bilion kepada lebih 5 bilion dolar.

Pendapatan bersih syarikat itu turut meningkat kira-kira 18 peratus kepada USD1.1 bilion pada suku kedua.

Uber kini menjadi antara syarikat teknologi yang mencatat kerugian terpantas dalam sejarah, dengan kerugian hampir USD4 bilion dalam sejarah tujuh tahunnya.

Bagaimanapun pakar berkata, susutan kewangan ini dianggap normal jika mengambil kira langkah drastik yang diambil Uber untuk mengembangkan perniagaannya.

Syarikat itu baru-baru ini memperuntukkan banyak dana untuk meningkatkan perkongsian pasarannya, menembus pasaran baru serta berkembang secara agresif.

Menurut pakar, strategi ini akan menyaksikan Uber rugi dalam jangka masa pendek, tetapi akan menjana keuntungan dalam jangka masa panjang.

Justeru, penganalisis menjangka syarikat tersebut akan terus mencatat kerugian sehingga suku ketiga atau keempat 2016.

Bagaimanapun katanya, Uber masih mempunyai rizab tunai kira-kira USD8 bilion.

Ia juga telah menjana dana kira-kira USD16 bilion dalam bentuk tunai dan hutang.

Syarikat itu kini mempunyai penilaian global kira-kira USD69 bilion.