Langkah kerajaan meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021 mungkin merugikan pekerja itu daripada segi perjawatan.

Bagi usahawan wanita Christy Ng dan pengasas Christy Ng Shoes, beliau beranggapan tempoh berkenaan terlalu panjang.

"Perkara yang saya tidak gembira ialah peningkatan cuti bersalin. Ia mungkin ada baik dan buruk.

"Seorang pekerja wanita yang cuti selama tiga bulan adalah terlalu lama dan saya juga merasakan ia menyebabkan masalah kepada majikan untuk meletakkan pekerja berkenaan di kedudukan tinggi.

"Ia mungkin bukan sesuatu yang baik," ujarnya semasa menjadi tetamu program khas Belanjawan 2020 di Astro AWANI pada Jumaat.

Christy juga tidak mahu wanita tidak dapat bersaing dalam tenaga kerja dan mengelakkan pihak majikan hanya memilih lelaki untuk kedudukan peringkat atasan di tempat kerja berbanding wanita.

“Bulan ketiga sepatutnya ditukar menjadi waktu kerja fleksibel yang dipersetujui supaya majikan tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja gantian semasa seseorang mengambil cuti bersalin, selain rakan pejabat tidak rasa terbeban,” jelasnya yang juga bersetuju tentang insentif untuk pengambilan semula wanita bekerja," tambahnya.

Christy menjelaskan, cuti bersalin paterniti juga perlu diberikan pada tempoh berbeza dengan cuti bersalin supaya menggalakkan kebertanggungjawaban bersama.

Bagaimanapun beliau menyifatkan secara keseluruhan, Belanjawan 2020 sebagai belanjawan yang inklusif.

Baginya, paling menarik perhatian ialah usaha menarik semula golongan wanita ke pasaran kerja.

"Saya gembira dengan kebanyakan perkara yang diumumkan. Saya rasa apa yang paling saya teruja ialah mengenai usaha menarik semula golongan wanita berumur antara 30 hingga 50 tahun ke pasaran kerja dan memberikan mereka insentif dan majikan boleh mengambil mereka bekerja semula," ujarnya lagi.


Semasa pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti bersalin, bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Untuk usaha itu, tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021.

Ikuti pautan video berikut untuk pandangan penuh Christy berkenaan perkara tersebut: