Volkswagen Passengers Cars Malaysia (VCPM) melancarkan edisi khas 'JOIN' bagi model Polo, Vento Comfortline dan Highline, Tiguan Highline dan Passat Comfortline.

Edisi khas 'JOIN' terbaharu ini menyediakan pakej aksesori ekslusif termasuk 'side scuff plates', 'rear spoiler', 'trunk garnish' VW Tint dan pelbagai lagi tambahan bernilai sehingga RM12,000, bergantung kepada model.

Menurut Pengarah Urusan VCPM Erik Winter, pelancaran 'JOIN' ini membuktikan komitmen syarikat untuk menyediakan produk terbaik dan pelbagai kepada penduduk Malaysia.

"Model JOIN ini adalah naik taraf model asas kami di mana kami menyediakan aksesori supaya kelihatan lebih elegan dan bergaya.

"Harganya pula bergantung kepada model, dan ia berbeza. Nilai kepada pembeli pula adalah antara RM7,000 dan RM12,000," kata Winter kepada Astro AWANI pada acara Volkswagen Fest 2018 di Setia Alam yang bermula Jumaat lalu.

Jelasnya, Volkswagen Fest 2018 adalah acara tiga hari yang dianjurkan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk memandu uji pelbagai model serta melihat koleksi klasik Volkswagen.

"Kami ada pelbagai aktiviti menarik untuk tiga hari ini, pengunjung yang berminat untuk membeli boleh mengambil peluang menerima rebat dan voucher petrol sehinga RM3,000.

"Di sini kami juga ada sudut khas di mana pemilik kereta Volkswagen boleh membuat ujian 20 mata," katanya.

Acara ini turut menyaksikan kerjasama Volkswagen dan Lazada Malaysia di mana 25 unit model JOIN boleh didapati secara eksklusif pada tawaran harga lebih baik, menerusi platform Lazada sebelum 30 Okt ini.

Sementara itu, VCPM turut melancarkan aplikasi 'Volkswagen Cares' iaitu program di mana pembeli boleh menerima perkhidmatan sebelum dan selepas pembelian, termasuk interaksi dengan perkhidmatan pelanggan dan bantuan 24 jam.