Hari ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar bakal memulakan tugas sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Tan Sri Abdul Wahid akan memulakan tugas dengan tiga mandat iaitu: 1) Menambah baik prestasi korporat PNB dan syarikat-syarikat di bawahnya; 2) Mempertingkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor perniagaan dan korporat; dan 3) Membantu kerajaan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Bekas senator ini merupakan seorang akauntan bertauliah, pernah mengetuai Maybank, selepas menerajui transformasi Telekom Malaysia. Beliau juga telah mengetuai proses pemulihan UEM Group.

Semasa di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menyelia agensi-agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perangkaan, Ekuinas, Talent Corporation, TERAJU dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.

Sebelum dilantik menerajui PNB, Tan Sri Abdul Wahid pernah menjadi pemandu Uber, satu usaha bersifat peribadi untuk mengalami sendiri bagaimana rasanya susah atau senang mencari rezeki dengan menggunakan teknologi terkini seterusnya untuk memberi input kepada penggubal dasar.