SYARIKAT teknologi China, Tencent Holdings (Tencent), bakal mengembangkan ekosistem aplikasi WeChat di Malaysia apabila melancarkan perkhidmatan pembayaran elektronik WeChat Pay di negara ini tahun hadapan.

Reuters yang memetik kenyataan Naib Presiden Kanan Tencent, SY Lau menyatakan, pihaknya sudah memperoleh lesen bagi membolehkan TenCent digunakan di Malaysia.

Ini menjadikan Malaysia sebagai pasaran luar negara pertama WeChat Pay.

Lau memberitahu, beliau yakin dengan penerimaan pengguna di Malaysia berdasarkan kepada respons mereka terhadap produk Internet dari China.

WeChat Pay membolehkan penguna membuat pembayaran menerusi aplikasi mudah alih.

Setakat ini, WeChat mempunyai kira-kira 9.6 juta penguna di Malaysia.

Pengenalan WeChat Pay di pasaran Malaysia tentunya memberikan dimensi baru kepada industri perkhidmatan kewangan di negara ini.

Sementara itu, usahawan teknologi kewangan (fintech) tempatan, Siew Yuen Tuck, menyatakan dia teruja menantikan reaksi bank-bank tempatan terhadap pelancaran platform pembayaran elektronik tersebut.

“Sebagai penguna, saya teruja untuk mengunakan teknologi ini. Dan sebagai usahawan fintech, saya mahu tahu apakah langkah seterusnya yang akan diambil bank-bank tempatan,” katanya kepada Astro AWANI.

Sebelum ini, anak syarikat CIMB, Touch ’n Go, mengumumkan kerjasama dengan Ant Financial Services Group yang memiliki platform Alipay bagi mewujudkan perkhidmatan pembayaran ‘online’ dan ‘offline’ serta penyelesaian ‘mobile wallet’.

Alipay sebelum itu turut mengumumkan bekerjasama dengan bank-bank tempatan seperti CIMB Bank dan Public Bank.

Alipay merupakan pesaing utama WeChat Pay di China.