YAHOO Inc pada Isnin mengumumkan syarikat itu akan dikenali sebagai Altaba Inc dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marissa Mayer akan berundur daripada barisan ahli lembaga pengarah selepas memeterai perjanjian dengan Verizon Communications Inc.

Yahoo mempunyai perjanjian untuk menjual perniagaan teras internetnya, yang merangkumi pengiklanan digital, e-mel dan aset media kepada Verizon dengan nilai AS$4.83 bilion (RM21.6 bilion).

Terma-terma dalam perjanjian itu mungkin boleh dipinda, atau transaksi mungkin juga boleh dibatalkan – selepas pada tahun lalu Yahoo mendedahkan dua kes pencerobohan data, yang salah satunya melibatkan 500 juta akaun pengguna, manakala yang kedua melibatkan lebih satu bilion akaun.

Eksekutif Verizon berkata, meskipun mereka melihat penyesuaian yang kukuh dan strategik dengan Yahoo, mereka masih menjalankan siasatan tentang kes kebocoran data berkenaan.

Lima pengarah Yahoo lain juga akan meletak jawatan selepas perjanjian ditandatangani.

Sementara itu, baki ahli lembaga pengarah lain akan ditugaskan untuk mentadbir Altaba, sebuah syarikat pegangan dengan aset utamanya sebanyak 15 peratus dalam syarikat dagangan China, Alibaba Group Holding Ltd, dan 35.5 peratus pegangan dalam Yahoo Japan.

Syarikat baharu itu juga menamakan Eric Brandt sebagai pengerusi lembaga pengarah berkuatkuasa 9 Januari.