Satu letupan menggegarkan pusat bersejarah Sultanahmet, yang menjadi destinasi popular pelancong di Istanbul hari ini.

Media tempatan melaporkan, letupan yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan menyebabkan lebih 15 orang cedera itu berlaku berhampiran sebuah taman warisan purba Greek yang menempatkan tugu Obelisk.

Media turut melaporkan beberapa anggota polis dan anggota perubatan berbegas ke tempat kejadian.

Polis mengepung kawasan berkenaan bagi mencegah orang ramai memasuki kawasan itu berikutan kemungkinan berlaku letupan kedua.

Sultanahmet adalah destinasi utama pelancong melawat Istanbul dan kawasan berkenaan merangkumi Istana Topkapi dan Masjid Biru.

Tahun lalu, Turki dikejutkan dengan dua kejadian bom yang besar.


BACA: Penyerang berani mati di Suruc dikenal pasti

BACA: Pengebom guna 5kg TNT dalam letupan di Ankara


Lebih 30 orang maut dalam serangan militan Daish di bandar Suruc, berdekatan sempadan Turki-Syria pada Julai tahun lalu.

Dua serangan bom berani mati pada Oktober lalu pula berlaku di stesen kereta api di pinggir Ankara, ketika orang ramai menyertai satu perhimpunan. Dalam kejadian itu, seramai 103 orang maut.

Pihak berkuasa Turki sebelum ini telah menahan beberapa militan Daish yang dikatakan merancang untuk menyerang Istanbul.

Puak pemisah Kurdi, Freedom Falcons of Kurdistan (TAK) mendakwa serangan mortar ke atas lapangan terbang antarabangsa kedua Istanbul pada 23 Disember lalu telah membunuh seorang tukang cuci dan merosakkan beberapa buah kapal terbang.